Mengikut rekod, ini adalah kali kedua negara merangkul anugerah tersebut selepas Yasmin Ahmad pada 2010 menerusi filem Muallaf.

Tidak menyangka merangkul anugerah tersebut, anak kepada pengarah tersohor, Datuk Yusof Haslam ini menganggap kemenangan itu adalah kejayaan semua yang terlibat untuk filem Munafik.

“Semua yang berlaku dalam kehidupan saya adalah terlalu pantas. Saya tidak menjangka akan mendapat anugerah itu secepat ini.

“Filem Munafik adalah sebuah filem komersial yang jarang mendapat hati dalam kalangan juri APFF kerana mereka lebih melihat filem yang mempunyai nilai seni tinggi.

“Tetapi mungkin secara peribadi Munafik adalah sebuah filem yang begitu dekat dengan hati saya dan keikhlasan berkarya itu dilihat oleh juri,” jelasnya.

Ditanya sama ada kemenangan itu akan memberikan tekanan sebagai seorang pembikin filem, jelas Syamsul, filem yang baik tidak seharusnya meletakkan anugerah sebagai matlamat dalam karya mereka.

Baginya, filem yang baik adalah untuk sesuatu yang memuaskan hati penonton dan itulah yang dia cuba hasilkan.

“Apabila kita buat filem yang ikhlas dan baik, sambutan dan segala-galanya akan datang sendiri selepas itu.

“Begitu juga dengan Munafik yang walaupun sudah setahun lebih ditayangkan tetapi kesannya masih ada hingga kini,” jelasnya.

Mungkin ada sesetengah pelakon atau pengkarya yang meletakkan anugerah sebagai batu sempadan mereka dengan pengkarya yang lain.

Tetapi tidak bagi Syamsul, dia menyifatkan proses pembelajaran itu akan berterusan selagi dirinya terlibat dengan dunia seni.

“Saya tak pernah merasakan diri saya pada satu tahap yang lain selepas menerima anugerah ini. Selagi hidup, selagi itu kena belajar. Memang saya hendak menang anugerah tetapi tidaklah mendambakannya.

Bagi  saya, memuaskan hati penonton itu lebih utama,” jelasnya.