Rentetan itu, Masdo semakin selesa mengatur rentak mendaki tangga selesa setelah tiga tahun mencari ruang bagi mengukuhkan aliran muzik yang dibawa.

Pencapaian demi pencapaian diraih membuktikan keikhlasan mereka saat pertama kali melangkah dalam industri seni tanah air.

Malahan album sulung mereka berjudul Selamat Tinggal Pujaan yang dipasarkan pada November tahun lalu habis terjual sebanyak 9,000 salinan menguatkan lagi keyakinan dan kepercayaan peminat.

Pada saat industri kini lebih memfokuskan kepada penjualan platform digital, namun tidak buat Masdo yang sanggup mengambil risiko dengan mengeluarkan belanja sendiri menerbitkan album yang dianggap sebagai ‘nyawa’ mereka.

“Kami tak duga sebenarnya album ini akan habis terjual untuk salinan pertama sebab hanya dijual bila Masdo menjayakan persembahan di tempat yang diundang.

“Album ini tak dijual di kedai-kedai muzik. Semua dilakukan atas usaha kami berempat untuk memastikan album itu terjual,” kata vokalisnya, Ali Sariah.

Selain Ali, Masdo turut digerakkan oleh Asmawi (gitar), Azham Ahmad (dram) dan Putu Ceri (bes).

Dalam pada itu, Masdo juga menyatakan penghargaan buat peminat sehinggakan album pertama mereka itu telah diulang cetak kali kedua.

“Kejayaan kami ini semuanya datang atas sokongan peminat. Kami berempat sendiri tak menyangka dalam masa tak sampai setahun album salinan pertama habis dijual dan kini kami telah mencetak buat kali kedua dengan jumlah yang sama iaitu 9,000 unit.

“Ini menjadi penanda aras buat kami melahirkan karya yang bermutu dan berkualiti. Kami juga harap selagi kemampuan untuk hasilkan produk, selagi itu peminat tidak berganjak di belakang kami,” ulasnya lagi.

Penghibur senior dan baharu kongsi pentas

BAKAL mengadakan persembahan pada Festival Freedom 2018 yang akan berlangsung di Bandar Malaysia, Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur Sabtu ini, Masdo mengharapkan sambutan menggalakkan daripada khalayak.

Festival percuma itu bermula dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Selain Masdo, barisan artis-artis terkenal seperti Datuk Zainal Abidin, Yuna, Reshmonu, Pesawat, Bittersweet, Salam Musik, Aman RA, Dj Blink, Plague of Happiness, Ryot Jones dan Mafidz turut menjayakan festival yang julung kali diadakan ini.

Menurut Ali, penyertaan ini memberikan peluang buat mereka menyajikan persembahan terbaik untuk para peminat dan khalayak yang hadir.

Lebih penting, katanya, festival itu juga mengumpulkan para penyanyi terkenal dan popular untuk bersatu pentas dengan penyanyi baharu seperti mereka yang masih bertatih dalam bidang muzik.

“Kami akan membawakan kira-kira lapan buah lagu pada persembahan yang akan bermula pada pukul 3 petang. Kami akan cuba menyajikan yang terbaik pada persembahan selama setengah jam itu.

“Kami berharap orang ramai dapat hadir memberikan sokongan kepada festival ini. Pemilihan lokasi yang strategik oleh penganjur juga saya kira dapat menarik ramai pengunjung untuk hadir memeriahkan acara yang telah dirangka sepanjang hari,” kata Putu Ceri pula.