Untuk itu, program realiti dakwah Manhajj Mutawwif musim kedua diteruskan bagi melahirkan lebih ramai anak muda yang bijak berdakwah.

Program Manhajj Mutawwif yang dibawakan oleh Manhajj Brothers Sdn. Bhd. bertujuan melatih para peserta muda untuk menjadi mutawif atau orang penting yang mengajar dan membantu jemaah Malaysia sepanjang mengerjakan umrah dan haji.Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ikhsan berkata, mereka mahu meneruskan program ini sehingga musim keenam.

“Saya melihat ketika ini ramai anak muda berminat dan berwibawa untuk membawa rombongan jemaah dari tanah air sehingga selesai ibadah di Mekah.

“Jadi program Manhajj Mutawwif antara platform yang bagus untuk melatih mereka menjadi mutawif yang berkebolehan dan mempunyai sikap kepimpinan yang tinggi.

“Sesuai dengan penggunaan media sosial sekarang, peserta program ini harus kreatif dalam menyampaikan dakwah. Ini kerana, dakwah yang berkesan adalah dakwah yang mengikut trend masa kini dan tidak ketinggalan zaman,” kata Abdul Halim .

Beliau juga mahu melahirkan pemandu pelancong Muslim di negara destinasi pelancongan seperti Korea, Thailand dan Jepun.

“Mungkin ada peserta yang akan dilatih menjadi pemandu pelancong.

“Kita kekurangan pemandu pelancong yang boleh menggunakan unsur dakwah dalam membawa pelancong. Jadi para peserta dilatih untuk menggunakan pendekatan dakwah yang sesuai dengan destinasi pelancongan,” katanya.

“Bumi Allah ini luas. Semua negara yang kita kunjungi pasti akan ada yang boleh dikaitkan dengan dakwah secara lebih santai,” katanya.

Labur RM6 juta

Demi mencapai matlamat dalam melahirkan mutawif selebriti yang berilmu dan berkualiti, Abdul Halim mengambil langkah berani melabur RM6 juta.

Selain mahu mencapai sasaran penonton yang meluas, kos ini juga meliputi siaran di beberapa saluran televisyen dan radio seperti Astro Oasis dan Zayyan FM.

“Bukan senang mahu melahirkan sesuatu yang berkualiti. Jadi, pelaburan ini adalah ‘tulang belakang’ bagi mencapai kejayaan dalam program Manhajj Mutawwif.

“Tahun ini kami turut mewujudkan satu aplikasi khas dikenali sebagai Manhajj Apps yang boleh dimuat turun mulai 26 Januari lalu. Aplikasi ini penting sebagai salah satu rujukan kepada para jemaah,” jelas Abdul Halim lagi.

Program Manhajj Muwwatif musim kedua yang sudah bermula siarannya pada 9 Februari lalu di saluran Astro Oasis, Astro Oasis HD dan Zayyan FM menampilkan lapan peserta.

Mereka ialah Muttakin Akmal Maarof, 29; Muadz Mohd Isa, 31; Mohamad Shazni Khir Bahari, 31; Muhammad Fauzi Tumin, 22; Muhammad An-Naim Yasim, 22; dan Mohamad Hazwan Padzil, 28.

Selain Malaysia, program ini turut disertai peserta dari Brunei, Adi Asmat Lamat, 29, dan Muhammad Zulfadhli Razali, 28, dari Acheh, Indonesia.

Ia diacarakan oleh Amin Idris dan Sharifah Shahira dan antara artis yang turut terlibat ialah Ropi, Ebby Yus, Salman, Syed Nahar dan Amy Mastura.