Tindakan ini ekoran terlalu kecewa dengan nasib filem Kau Yang Satu yang telah menjadi mangsa cetak rompak selepas seminggu ditayangkan di pawagam.

Menurut Osman, selain tindakan yang akan dilakukan oleh pasukannya sendiri, pihak berwajib juga telah menubuhkan satu badan yang dipertanggungjawabkan memantau serta membanteras kegiatan haram itu.

“Saya memang sangat kecewa dengan insiden tersebut namun ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku. Kini, pihak yang berwajib telah menubuhkan satu badan yang berperanan memantau dan membanteras segala kegiatan haram tersebut agar ia tidak berulang.

“Selain itu, kejadian tersebut membuatkan pihak saya sendiri akan lebih berwaspada pada masa akan datang. Saya berdoa agar tiada pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan perbuatan berkenaan pada tayangan filem Pinjamkan Hatiku nanti.

“Sebagai salah satu tindakan kami, satu notis amaran keras akan dipaparkan kepada penonton sebelum tayangan bermula,” jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran runut bunyi dan trailer filem tersebut, di Redbox, The Garden, di sini semalam.

Pinjamkan Hatiku terbitan Aurawhite Global Sdn. Bhd., ini dibintangi barisan pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Farid Kamil, Ayda Jebat, Normah Damanhuri dan ramai lagi. Manakala runut bunyi filem ini dengan judul yang sama dinyanyikan oleh Ayda Jebat dan Adi Priyo. - UTUSAN ONLINE.