MAMAT
MAMAT 

Kira-kira sejam yang lalu, Mamat dibebaskan dengan jaminan polis dan dia kini sedang membuat persiapan untuk datang ke Kuala Lumpur.

"Pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Johor Bahru Utara (JBU) bersetuju membebaskan Mamat dengan jaminan polis dan keputusan ini bolehlah kita semua tarik nafas lega.

"Mamat akan ke Kuala Lumpur dan kedatangannya dinanti-nantikan oleh anggota kumpulan Exists yang lain," kata Shiraz kepada wartawan Utusan Online ketika dihubungi, sebentar tadi.

Menurut Shiraz, apa yang terjadi adalah sesuatu yang di luar jangkaan. Bagaimanapun, persiapan untuk Konsert Exists Reunion yang dijadualkan berlangsung pada 28 September ini, tetap berjalan seperti biasa.

"Tiada apa yang berubah, tiada kesan apa-apa terhadap persiapan menjelang konsert. Yang penting, Mamat berada dalam keadaan baik buat masa ini," ujar Shiraz.

Semalam, para peminat kumpulan Exists khususnya Mamat, digegarkan dengan berita penangkapan penyanyi lelaki itu di Taman Perling, Johor Bahru, Johor.

Ketika ditahan pihak polis, turut ditemui ialah peket lutsinar yang dipercayai sejenis dadah.

Bagaimanapun, kata Shiraz, anggota lain dalam kumpulan Exists dan pihak penganjur akan bersama-sama membantu Mamat untuk mengatasi masalah ini.

Sememangnya Mamat perlu memberikan persembahan terbaik di hari konsert reunion itu nanti kerana para peminat kumpulan Exists sememangnya menantikan sebuah persembahan berskala konsert.

"Kita semua akan membantu Mamat untuk kembali pulih dan berada di landasan yang betul," kata Shiraz seraya mengakhiri perbualan. - UTUSAN ONLINE