Konsert yang akan diadakan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 April ini pukul 8.30 malam merupakan konsert pertama kumpulan berasal dari Jerman itu di sini sejak ditubuhkan 34 tahun lalu.

RSVP Media selaku penganjur utama konsert itu menyifatkan ia juga sebagai satu sejarah apabila Pumkins United yang menggabungkan hampir semua anggota asal Helloween akan menemui para peminat secara eksklusif di negara ini.

Menurut wakil pihak penganjur, Shamsul Kamal Othman, kemungkinan konsert itu merupakan yang pertama dan terakhir buat Pumpkins United kerana agak sukar untuk menggabungkan tujuh anggotanya di atas pentas yang sama.

“Sehingga ke hari ini, Malaysia masih lagi menjadi satu-satunya destinasi Helloween bersama Pumpkins United di rantau Asia Tenggara. Ini mungkin juga akan menjadi konsert pertama dan yang terakhir bagi mereka di rantau ini.

“Rugi kalau para peminat tidak menyaksikan konsert ini kerana bak kata orang duit boleh dicari tetapi pengalaman seperti ini jarang muncul dan ia tidak dijual di kedai. Jadilah sebahagian daripada sejarah itu,” katanya kepada UTUSAN ONLINE.

Kali terakhir Helloween berkunjung ke rantau Asia Tenggara adalah pada konsert sulung mereka di Fort Canning, Singapura pada 24 Februari 2008 yang disaksikan hampir 5,000 peminat setia mereka yang juga datangnya dari rantau ini.

Pumkins United akan menggabungkan anggota-anggota asal Helloween iaitu Weikath, Kiske, Hansen, Grosskopf dan turut di bantu Andi dan Michi selaku vokalis, Kai Weiki serta Sascha selaku gitaris dan Markus selaku bassis, manakala Dani pula bertindak selaku pemain dram.

Konsert Pumpkins United World Tour 2018 Live In Malaysia itu yang dianjurkan bersama Malaysia Autoshow itu dijangka mampu memuaskan hati para peminat mereka dalam persembahan yang akan diadakan selama dua jam tanpa henti.

Kumpulan yang pada mulanya dikenali sebagai Gentry, Second Hell dan Iron Fist itu telah mengadakan ribuan konsert di seluruh dunia sejak ditubuhkan yang mana mereka sezaman dengan kumpulan legenda dari Jerman yang lain seperti Destruction, Kreator dan Tankard.

Helloween mula tampil dengan album pertama yang telah diterbitkan pada tahun 1985 bertajuk Walls Of Jericho selain beberapa buah album lain termasuk Keeper Of The Seven Keys Part 1, Pink Bubbles Go Ape, Chameleon, Master of the Rings, The Time of the Oath dan Better Than Raw.

Para peminat boleh mendapatkan tiket yang telah pun dan ia berharga antara RM195 hingga RM800 (pembelian awal sehingga 18 Mac lalu), manakala RM295 sehingga RM900 iaitu selepas promosi pembelian awal itu berakhir.

Sebelum mengadakan konsert di Malaysia, Helloween akan akan mengadakan persembahan mereka di Jepun, Rusia dan Ukraine selain turut diadakan di negara-negara seperti Itali, Sweden, Norway, Finland dan beberapa buah lagi negara.

Sebarang pertanyaan berhubung pembelian tiket dan konsert tersebut, sila hubungi 03-78807999 atau layari www.ticketpro.com.my atau www.soundvalleyfestival.com - UTUSAN ONLINE