Menurut pelakon wanita yang berusia 69 tahun ini, nama panggilannya diperoleh setelah pulang daripada menunaikan haji pada tahun 1984.

Kisah kehidupannya tidak begitu diketahui umum biarpun wajahnya sering menghiasi televisyen. Berkesempatan bertemu nya baru-baru ini, Pancaindera sempat berkongsi kisah kehidupannya ketika kecil sehingga sekarang.

Menyorot zaman silam, pelakon yang berasal dari Sungai Jai Beranang, Selangor ini berkata ketika berumur sembilan tahun dia amat meminati drama yang diputarkan di corong radio. Dek kerana itu dia terpaksa menyorok di bawah rumah jiran semata-mata tidak ingin ketinggalan.

“Keluarga saya dulu orang susah dan tak mampu beli radio jadi saya terpaksa curi dengar dari bawah rumah jiran. Waktu tu siaran drama tersebut sebelah malam, jadi awal-awal lagi saya dah duduk bawah rumah jiran.

“Kalau di kampung selalunya ramai yang tidur awal dan pintu rumah pun dah dikunci awal jadi saya terpaksa terjun dari tingkap bilik untuk keluar mujurlah tak pernah cedera,” ujarnya sambil tergelak.

Bermula dari mengikuti drama radio tersebutlah dia mula berminat berlakon dan menyanyi. Kerana itu, dia sering mengambil bahagian dalam acara pentas yang dianjurkan oleh pihak sekolah.

“Kawan-kawan masa sekolah dulu ramai yang pemalu. Mereka selalu suruh saya ke hadapan dahulu. Jadi lama-kelamaan jika ada persembahan saya sendiri yang ingin turut serta tanpa disuruh,” ujarnya yang sering mengikut abang tirinya menyanyi di majlis perkahwinan di sekitar kampung.

Bercerita lanjut tentang zaman kecilnya lagi, anak sulung daripada empat beradik ini mengakui antara kenangan terindah ketika itu adalah ketika bersama arwah ibunya, Noriah Kadir. Biarpun ibunya sudah lama meninggal dunia namun keakraban antara mereka masih terasa.

“Memandangkan saya anak sulung jadi saya sering membantu ibu membuat kerja rumah dari memasak, membasuh kain dan sebagainya. Sebab itu kami rapat. Disebabkan itu bila dia sudah tiada saya terasa kehilangan sangat,” ujar bekas pelajar Sekolah Rendah Khir Johari, Beranang, ini lagi.

Buat album

Sehingga ke saat ini, Mak Jah telah pun berlakon lebih daripada 100 buah drama dan menjayakan berpuluh buah filem. Antaranya Mami Jarum, Lady Boss, Hingga Hujung Nyawa, Volkswagen Kuning, Jutawan Fakir, Sara, Bujang Senang, Cinta Fotokopi dan banyak lagi.

Selain daripada berlakon, dia juga baru sahaja selesai merakamkan album kedua berjudul Kenanganku. Album yang diterbitkan oleh S.Atan itu menggandingkan dirinya bersama Chef Zainal. Ia terdiri daripada lagu lama yang digubah semula dan sebuah lagu baru berjudul Indahnya Hari Raya.

“Album ini baru sahaja siap satu minggu sebelum puasa tempoh hari. Sebenarnya ia dibuat untuk koleksi kenangan jika saya sudah tiada nanti untuk kaum keluarga, rakan-rakan serta peminat. Selama ini ramai yang selalu lihat saya berlakon sahaja tapi kali ini mereka boleh dengar suara saya pula.

“Dari dahulu saya memang minat menyanyi cuma tak berkesempatan sahaja. Dulu masa di kampung saya suka menyanyikan lagu-lagu Saloma. Beberapa tahun lepas pun saya dah pernah merakamkan album pertama. Bila dapat tawaran daripada S.Atan jadi saya tak sia-siakannya.

“Sepanjang proses rakaman, saya banyak mendapatkan tunjuk ajar daripada S. Atan yang banyak membantu cara untuk mengawal suara dan sebagainya. Biarpun dia agak tegas ketika mengajar namun apa yang diajar olehnya lekat di fikiran. Tak banyak sangat masalah yang saya lalui sebab kalau nak diikutkan saya sering menyanyi.

“Biasanya jika ada masa terluang saya akan membuat persembahan di sekitar kawasan perumahan saya di Cheras ini. Selain daripada itu, saya juga aktif dalam persatuan nyanyian bersama penduduk-penduduk di sini. Kami biasanya menyanyikan lagu-lagu lama tahun 60-an atas permintaan,” ujarnya yang semakin pulih daripada penyakit kanser rahim.

Bermula sebagai jurusolek

Setelah menduduki peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) ketika berusia 15 tahun, dia kemudiannya mengambil keputusan menamatkan persekolahan namun dalam masa mengambil peluang mengikuti kursus asas rumah tangga seperti memasak, menjahit dan sebagainya.

“Hampir dua tahun juga saya ikut kursus tersebut dan kemudiannya ketika umur 17 tahun saya memulakan karier sebagai jurusolek artis di Radio Televisyen Malaysia (RTM) secara sambilan dan tidak beberapa lama selepas itu, saya diterima sebagai pekerja tetap.

“Dari situlah saya banyak belajar selok belok dunia artis apabila berkesempatan bergaul bersama mereka. Masa tu sebenarnya saya tak pernah bercita-cita sedikit pun untuk bergelar pelakon biarpun ketika itu saya sering mengisi kekosongan pelakon yang tidak dapat hadir ke lokasi,” ujarnya yang pernah dihantar mengikuti kursus solekan di Jepun.

Beberapa tahun bergelar jurusolek, dia terpaksa melepaskan jawatan tersebut kerana mengikut suami berkhidmat di Sabah. Pun begitu tiga tahun kemudiannya dia kembali semula ke Kuala Lumpur untuk bekerja semula di RTM.

“Jodoh bersama suami tak panjang. Saya terpaksa bekerja semula untuk menampung kehidupan dengan membesarkan anak-anak seramai tiga orang. Selain solekan saya juga turut melakukan kerja di belakang tabir seperti menjaga pakaian, konti dan sebagainya.

“Namun dalam pada itu, makin banyak pula peluang untuk saya bergelar pelakon tambahan. Lama kelamaan saya rasa minat pula untuk berlakon. Malah setiap kali berlakon saya mampu membawakan watak dengan berkesan,” ujarnya.

Mungkin juga disebabkan darah seni yang mengalir daripada arwah ayahnya yang merupakan seorang pelakon pentas dan arwah nenek sebelah ibu yang juga merupakan seorang penari membuatkan Mak Jah begitu dekat dengan bidang seni.

“Saya mula berlakon secara serius pada tahun 1987 menerusi syarikat penerbitan Serangkai Filem dalam drama berjudul Sri Panggung bersama pelakon Jalil Hamid, Fadhil Dani, Liza Rafar dan Ebby Yus. Dalam drama tersebut saya membawakan watak seorang ibu.

“Ketika itu saya banyak menerima tawaran membawakan watak ibu. Mungkin kerana raut wajah keibuan membuatkan saya dekat dengan watak tersebut. Paling gembira apabila kehadiran saya diterima dan mendapat tunjuk ajar daripada pelakon hebat seperti Mariati Tamam dan Aziz Satar.

“Saya masih ingat lagi, seniwati Normadiah pernah menasihati saya agar terus berlakon kerana bakat semula jadi yang ada dalam diri ini namun dalam masa yang sama saya perlu membuang jauh perasaan malu ketika berdepan dengan kamera,” tutur nya yang masih menyematkan nasihat itu.

Pun begitu, pada tahun 1990, dia terpaksa berehat panjang setelah menjalani pembedahan buah pinggang. Saat itu, terdetik di hatinya untuk berhenti berlakon namun sokongan daripada rakan-rakan artis seperti Mat London, M. Amin dan ramai lagi membuatnya kembali aktif.

Sejak dari itu, dia semakin mendapat tawaran pelbagai watak selain ibu antaranya bidan jahat, hantu, komedi dan sebagainya. Dia tidak pernah mengambil kisah sama ada watak yang ditawarkan kepadanya besar atau kecil kerana baginya dia lebih mengutamakan karier.

“Walaupun watak kecil sekalipun tapi jika ia dapat menonjolkan kredibiliti saya sebagai pelakon, saya akan terima dan Alhamdulillah sehingga ke hari ini saya bersyukur kerana penampilan saya mendapat perhatian daripada peminat,” katanya.

Saya mula berlakon secara serius pada tahun 1987 menerusi syarikat penerbitan Serangkai Filem dalam drama berjudul Sri Panggung bersama pelakon Jalil Hamid, Fadhil Dani, Liza Rafar dan Ebby Yus. Dalam drama tersebut saya membawakan watak seorang ibu.