Mahadzir secara spontan membuka matanya ketika disapa oleh adiknya, Ida Lokman.

Menurut Ida, ketika dibisikkan ke telinga abangnya mengenai kiriman doa yang dititipkan oleh keluarga dan rakan-rakannya, Mahadzir juga menunjukkan reaksi yang positif.

“Alhamdulillah Abang Dale (panggilan buat Mahadzir) memberikan respons ketika saya menyentuh tangannya dan membisikkan ke telinganya doa dan kata-kata semangat yang disampaikan oleh semua yang mengenalinya.

“Perkembangan positif yang ditunjukkan oleh Abang Dale tadi disambut oleh kesyukuran oleh kami adik-beradiknya. Terima kasih atas doa dan ucapan semangat yang diberikan oleh semua kenalannya, kami ahli keluarga sangat-sangat menghargainya,” kata Ida kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pengacara ternama negara yang berusia 60 tahun itu kini dipantau oleh doktor di ICU PPUM selepas tidak sedarkan diri pada pagi Ahad lalu. - UTUSAN ONLINE