DIDDY HIRDY

Saya dilahirkan daripada program nyanyian realiti TV yang menjadi fenomena suatu ketika dahulu dan juga yang paling lama bersiaran di Malaysia, Akademi Fantasia, yang turut mencipta rekod dalam Malaysia Book of Record 2017.

Terpilih menjadi peserta AF musim ke-4 pada tahun 2006 adalah satu pencapaian yang besar kerana sedari kecil memasang cita-cita ingin menjadi penyanyi.

Sejurus selepas tamat ‘pengajian’ di AF, walaupun tidak menang atau meraih mana-mana tempat di dalam pertandingan tersebut, saya berjaya melahirkan sebuah album penuh dan beberapa lagu sehinggalah tahun 2015 meskipun kebelakangan ini pergerakan kerjaya seni sangat perlahan.

Album dan lagu tersebut bukan sahaja seperti ‘pasport’ atau identiti pengenalan sebagai anak seni, ia juga telah membawa saya ke pentas berprestij di majlis anugerah yang bersandarkan populariti mahupun kualiti.

Walau bagaimanapun, hidup sebagai anak seni ada pasang surutnya. Kita perlu sentiasa bersedia dengan kekecewaan. Ya, kekecewaan adalah satu perkara biasa dalam industri ini yang mana kegagalan adalah ‘hasil’ utama di dalam pasaran muzik, menurut kajian ilmuan Barat.

Kebergantungan terhadap usaha kolektif yang harmoni lagi telus amatlah diperlukan bagi penghasilan komoditi muzik yang bersandarkan sepenuhnya kepada penilaian subjektiviti.

Sebagai contoh, sukar untuk meramalkan ‘nasib’ penerimaan sesebuah lagu dalam pasaran muzik. Faktor persekitaran luaran di dalam industri seperti polisi dan sistem sokongan juga mempengaruhi keberkesanan sesebuah produk muzik untuk berjaya.

Bagi meminimumkan risiko, menjadi pilihan kebanyakan artis dengan mengambil pendekatan menceburi bidang perniagaan untuk menyelamatkan kerjaya seni mereka dan seterusnya mampu ‘hidup’ menjadi anak seni. Kita sering melihat banyak artis yang menjadi usahawan dan ahli perniagaan. Itu satu pendekatan yang bijak.

Berbeza dari kebiasaan, jatuh bangun di dalam industri muzik mendorong diri ini untuk terus maju bersama muzik meskipun dalam arena yang berlainan iaitu pendidikan, yang merupakan bukan laluan popular atau pilihan kebanyakan orang-orang seni.

Pada tahun 2010, Universiti Utara Malaysia (UUM) menawarkan program khas Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dengan Kepujian buat penggiat seni tanah air. Saya tidak berfikir panjang dan terus mendaftar bagi program tersebut.

Alhamdulillah, keputusan yang dibuat membuahkan hasil apabila berjaya memperoleh anugerah dekan untuk beberapa semester, menamatkan pengajian tersebut pada tahun 2013 dengan Ijazah Kelas Pertama dan juga menerima Anugerah Pingat Emas Timbalan Naib Cancelor Akademik dan Antarabangsa kerana pencapaian akademik tersebut.

Selain itu, saya juga pernah diiktiraf sebagai Ikon Pembelajaran Sepanjang Hayat oleh Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2012. Tiada perkataan yang mampu menggambarkan betapa bersyukur melihat hasil usah dan penat lelah menjadi sebegini rupa! ‘Jodoh’ saya dengan UUM tidak habis begitu sahaja.

Seterusnya, saya mendapat tempat menjadi Tutor di Pusat Pengajian Industri Kreatif dan Seni Persembahan di universiti berkenaan. Dengan jawatan akademik ini, ia melayakkan saya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD), dibiayai sepenuhnya oleh UUM.

Bidang baharu

Pada tahun 2015, saya berjaya memperoleh Ijazah Sarjana dalam Pengajian Industri Muzik di University of Liverpool dan kini giat menyiapkan kajian PhD di universiti yang sama.

Berada di universiti terbaik khususnya dalam bidang popular muzik di United Kingdom dan tersenarai dalam Times Higher Education World University Rankings, saya juga menyandang jawatan sebagai staff akademik di mana saya ditugaskan mengajar dua subjek: World Music and Globalisation dan Asian Music Markets bagi pelajar peringkat ijazah Sarjana Muda dan juga Ijazah Sarjana dalam muzik.

Peluang-peluang yang diperoleh adalah meritokrasi sepenuhnya daripada usaha yang tak berbelah bagi. Ia juga didominasikan dengan karakter individualimse yang sentiasa inginkan kemajuan diri yang berterusan.

Tak salah rasanya mempunyai nilai sebegini selagi tidak memudaratkan orang lain. Jadi, di dalam akademik, saya berada di luar kawalan ideologi kolektivisme, seperti terlihat dalam industri muzik yang saling bergantungan dengan pelbagai pihak dan sistem.

Saya terhutang budi dengan segala pengalaman yang dilalui. Ia bukan sahaja mematangkan saya, bahkan membuatkan saya sedar yang tiada siapa yang boleh mencipta kecemerlangan melainkan diri sendiri. Titik permulaannya adalah mengenal pasti kecenderungan bakat dan potensi diri.

Juga mengenalpasti peluang yang ada, membuang segala pemikiran negatif, dan sentiasa ingin menjadi yang terbaik dari sebelumnya. Bersaing dengan diri sendiri (bukan dengan orang lain) adalah satu refleksi yang baik untuk kemajuan dan pembangunan kendiri.

Perlu diingatkan, apabila sudah meletakkan usaha, kebergantungan kepada-Nya adalah kunci. “Sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum, kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka” (Surah Ar-Ra’d: 11).

Diddy Hirdy merupakan penyanyi yang dicungkil bakat menerusi rancangan Akademi Fantasia musim keempat. Dia kini sedang menyambung pelajaran ke peringkat PhD dalam bidang Muzik di University Of Liverpool.