LIZA HANIM

Tidak mengalami sebarang kesukaran sehingga ke saat ini, kata Liza, mempunyai tahap kesihatan yang baik juga memberi sebab untuk dia membuat persiapan terbaik.


“Alhamdulillah kandungan saya sudah masuk 25 minggu, semuanya dalam keadaan baik. Saya juga masih kuat untuk membawakan lagu ini.


“Soal persiapan ke pentas separuh akhir rasanya tidak memberi tekanan, sebab hanya satu lagu sahaja. 


“Sebabnya dalam keadaan sekarang saya juga masih sibuk dengan persembahan seperti biasa,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang media Muzik Muzik separuh akhir ke 33 sebentar tadi.


Bakal melahirkan anak kelimanya pada Januari tahun hadapan. Buat masa ini Liza, 39, tidak terfikir akan perancangan seterusnya jika lagu ciptaan Hafiz Hamidun dan Fedtri Yahya layak ke pentas akhir.


“Dijangka saya akan melahirkan anak kelima ini pada Januari depan, jadi pentas akhir juga pada lebih kurang waktu itu jadi tidak fikir lagi.


“Tidak mengapalah saya mahu beri fokus kepada pentas separuh akhir dahulu,” katanya lagi.


Sementara itu, Liza juga turut berkongsi jantina anak kelimanya ini. Bakal melahirkan anak lelaki ketiganya buat masa ini Liza dan suami, Mohamed Shahrin Samsudin masih belum membuat persiapan.


“Belum buat persiapan, tapi kali ini memang semua kena beli baharu sebabnya barang-barang bayi sebelum ini banyak sudah diberi kepada orang. Sebab waktu itu tidak sangka akan tambah anak (ketawa).


“Anak-anak lain pula semuanya juga turut teruja untuk mendapat orang baharu,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE