Kemewahan kasih sayang daripada keluarga dan para peminat setianya dianggap sebagai satu kurniaan yang tidak ternilai, sekali gus menyempurnakan hidupnya yang boleh dikatakan mempunyai segala-galanya iaitu harta, kecantikan, keluarga yang bahagia dan kemasyhuran.

Bersyukur dengan anugerah tersebut, diva kesayangan ramai ini menitipkan kata-kata terharunya dalam majlis sambutan hari jadinya yang ke-40 pada 11 Januari lalu. Siti menyifatkan dirinya begitu beruntung kerana terus disayangi ramai.

Semenjak menceburkan diri dalam bidang seni ketika berusia 16 tahun, Siti merasakan tanpa kasih sayang insan-insan penting dalam hidupnya, beliau tidak mungkin berada di tahap ini. Tidak kira apa yang berlaku sepanjang 24 tahun dalam industri, penyanyi nombor satu negara ini tetap disayangi.

“Saya bersyukur kerana diri ini terus disayangi. Kasih sayang ini juga adalah rezeki Allah buat saya. Bukan senang untuk orang menyayangi kita dalam jangka masa panjang. Kalau orang nak benci itu sekejap sahaja boleh berlaku. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas apa yang telah mereka lakukan.

“Saya hanya seorang penyanyi yang menghiburkan orang ramai. Jadi, apabila ada yang menghargai sebegini, saya sangat bersyukur. Terima kasih kerana selalu menghargai hasil kerja seni saya.

“Saya berharap bakat yang saya ada ini terus membuatkan para peminat terhibur dan seronok dengan apa yang saya sampaikan. Apabila mereka terhibur, itu juga sebenarnya hadiah buat saya apabila melihat mereka gembira,” kata Siti yang menganggap memasuki usia 40 tahun hanya sekadar angka.

Malahan beliau sendiri tidak terlalu memikirkan tentang umur tersebut.

“Dalam usia 40 tahun ini, saya mahu menjadi seorang yang lebih matang, dikurniakan kesihatan yang baik dan menjadi hamba yang lebih taat kepada Yang Esa,” katanya yang turut menganggap hari jadinya lebih bermakna dengan kehadiran anaknya Siti Aafiyah.

Tambah Siti, fokus utamanya ketika ini adalah mahu memberi semula kepada masyarakat dengan membantu mereka melalui program-program yang telah diaturkan.