Sebagai Pali, anak muda berusia 32 tahun ini dikecam habis-habisan oleh penonton. Malah, ada penonton yang secara terus-terang mahu membuat perkara buruk ke atasnya jika ada di hadapan mata.

Terus-terusan dicop sebagai nakal walau di luar gelanggang lakonan sedikit sebanyak membuatkan jejaka ini `keletihan’. Masakan tidak, menghayati watak sehabis daya sehingga mampu menerbitkan rasa marah dalam kalangan penonton, memberi kesan buruk pula kepada kehidupannya.

Namun, sebagai anak seni yang melalui pelbagai ujian dan kesukaran untuk kekal bersaing, Syazwan menganggap segalanya adalah cabaran yang perlu dihadapi. Dia mahu melihat sisi positif sahaja segala anggapan negatif yang dilemparkan terhadapnya.

“Saya akui sejak berlakon pada 2011 hingga sekarang, saya sering diberikan watak-watak antagonis, kasar dan baran. Saya pun tidak tahu kenapa, mungkin karakter ini sesuai dengan saya di kaca televisyen. Saya tidak kisah kerana sekurang-kurangnya saya ada tawaran berlakon.

“Cuma, apa yang tidak seronok apabila ada yang menganggap saya seorang yang kasar dan baran di luar lokasi. Ia tidak benar sama sekali kerana saya seorang yang cukup mesra dan suka bergurau. Siapa yang kenal saya pasti ‘masak’ dengan perangai saya.

“Apa yang tidak seronok dan buat saya kurang selesa apabila sikap baran dan kasar itu dikaitkan dengan cara saya bekerja. Ada pihak yang seolah-olah mahu ‘membunuh’ kerjaya saya dengan mengatakan saya ni seorang yang baran dan sukar memberikan kerjasama.

“Saya akui ‘letih’ dengan situasi sebegini. Tanyalah kepada sesiapa yang pernah bekerjasama dengan saya, rasanya saya belum buat masalah dengan mereka. Jadi saya harap kata-kata yang tidak benar tentang saya akan lenyap daripada anggapan orang,” katanya.

Namun dalam ‘keletihan’ Syazwan melayan kerenah orang yang menganggapnya kasar dan baran, ada hikmah di sebaliknya.

Syazwan bersyukur kerana sering diberikan watak baran dan kasar yang sekali gus membezakan dia dengan pelakon lain.

“Dalam situasi negatif ini, ada sudut positifnya. Apabila sering diberikan watak kasar, saya bersyukur watak tersebut membuatkan tawaran lakonan tidak berhenti, sentiasa ada. Alhamdulillah.

“Iyalah, kebanyakan pelakon lelaki masuk industri kerana mahu bawa watak utama atau hero. Saya tidak pernah ada niat seperti itu kerana watak hero memerlukan saya bersaing dengan nama-nama besar yang lebih menjadi keutamaan stesen televsiyen.

“Saya pernah menonton sebuah video yang menampilkan pelakon Hollywood terkenal iaitu Johnny Depp. Dia ditanya kenapa muka kacak tetapi watak yang dibawakan tidak seiring dengan wajah yang menjadi idaman ramai.

“Jawab Johnny Depp, dia sememangnya kacak, tapi kalau hanya mahu memilih watak utama atau hero, namanya mungkin antara senarai paling bawah kerana perlu bersaing dengan ramai pelakon kacak seperti Brad Pitt.

“Produksi tidak fikir watak gila-gila boleh diberikan kepada Brad Pitt, justeru peluang Johnny Depp ada di situ. Walaupun bukan watak hero, namun watak tersebut tetap menyerlahkan dirinya.

“Begitu juga dengan saya yang tidak mengharapkan watak utama seperti hero, sebaliknya saya selesa memainkan watak yang jarang diimpikan oleh pelakon lelaki lain,” luah Syazwan yang mengganggap teman-teman seperjuangannya seperti Jay Iswazir, Amirul Adffendy dan Kodi Rashid sebagai saingan sihat dalam bidang lakonan.

Hairan kurang tawaran lakonan

Syazwan akui 2018 adalah tempoh yang agak ‘malang’ baginya kerana kurang tawaran berlakon.

“Bayangkan, saya hanya berlakon dalam tujuh telefilem sepanjang tahun lalu. Ia membuatkan saya terkilan kerana tidak pernah berhadapan dengan situasi ini.

“Saya hairan kerana kurang tawaran berlakon sedangkan saya tidak pernah ada masalah dengan mana-mana pihak. Nak kata terlalu demand, harga saya tidaklah semahal artis-artis lain.

“Saya ada dengar disebabkan sikap saya yang dikatakan baran dan kasar menyebabkan banyak pihak tidak ambil saya berlakon.

“Jujurnya saya berasa sedih. Tanggapan ini seolah-olah memakan diri saya. Padahal saya bukan seorang yang baran, malah sangat senang memberi kerjasama. Saya kurang pasti di mana silapnya. Jadi saya harap penjelasan ini membantu saya untuk mengubah persepsi orang lain terhadap saya.

“Untuk mengelakkan tekanan, saya selalu berfikiran positif. Mungkin ada hikmah apabila tiada tawaran. Ini masa untuk saya memeperbaiki kelemahan diri dengan menonton banyak filem yang hebat.

“Dulu saya berlakon ‘back to back’ sampai tidak ada masa untuk melihat di mana kekurangan diri,” katanya lagi.

Tiada masalah dengan Astro

SYAZWAN akui beberapa kali namanya digugurkan daripada senarai pelakon untuk drama terbitan Astro. Dia sendiri tidak tahu apa sebab dan puncanya.

“Sebelum ini pihak Astro ada mengeluarkan kenyataan tidak pernah menyekat saya berlakon dalam drama terbitan mereka. Namun, ada beberapa orang dari pihak produksi memberitahu nama saya kerap ditolak oleh pihak Astro dan minta digantikan dengan pelakon lain.

“Entah di mana silapnya, setahu saya memang tidak pernah ada masalah dengan pihak Astro.

“Apa yang saya dapat agak adalah berkaitan dengan kisah cinta saya dengan bekas kekasih, pengacara Shenty Feliziana. Saya tidak tahu siapa dalang di sebalik semua ini. Saya tidak marah, cuma terkilan kerana kisah peribadi yang lalu seolah-olah menyekat kerjaya saya,” kata Syazwan.

Dalam masa yang sama dia menganggap watak Pali yang dibawanya memberi ingatan semula peminat kepadanya walaupun dia tampil dengan sebuah karakter yang menyakitkan hati para penonton.

BELUM RANCANG NIKAH

Syazwan mengakui dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang pramugari.

“Saya sudah lama mengenalinya. Kami bercinta sejak tiga tahun lalu. Buat masa ini belum ada perancangan untuk nikah. Doakan yang terbaik ya!

“Pengalaman cinta lalu banyak mengajar saya agar menganggap kekasih seperti kawan yang kita boleh kongsikan pelbagai hal. Di sinilah akan terbentuknya sikap saling memahami antara satu sama lain,” kata Syazwan yang juga pernah popular dengan siri drama Juvana dan Tujuh Hari Mencintaimu.

Syazwan mengakui dia kini sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang pramugari.

“Saya sudah lama mengenalinya. Kami bercinta sejak tiga tahun kebelakangan ini. Buat masa ini kami belum ada perancangan untuk nikah. Doakan yang terbaik ya!

“Pengalaman cinta lalu banyak mengajar saya agar menganggap kekasih seperti kawan yang kita boleh kongsikan pelbagai hal. Di sinilah akan terbentuknya sikap saling memahami antara satu sama lain,” kata Syazwan yang juga pernah popular dengan siri drama Juvana dan Tujuh Hari Mencintaimu.

Tidak salahkan bekas pengurusan

MENURUT Syazwan, dia mengharapkan impak positif apabila bernaung di bawah syarikat pengurusan Mind Order Sdn. Bhd., namun harapannya tidak kesampaian.

“Apa yang saya boleh cakap, tahun lepas saya terikat dengan syarikat pengurusan Mind Order. Sejujurnya saya mengharapkan ia boleh membuatkan kerjaya saya bertambah baik.

“Namun, entah di mana silapnya, saya kurang menyerlah. Saya tidak pernah salahkan bekas syarikat pengurusan kerana mereka sudah aturkan yang terbaik, Cuma mungkin apa yang diaturkan atau cara kerja mereka tidak berapa sesuai dengan cara kerja saya.

“Jadi, untuk kebaikan bersama, saya mengundur diri secara baik. Hubungan kami masih baik seperti biasa. Cuma bukanlah sebagai artis di bawah mereka lagi.

“Apa-apa pun saya masih mengharapkan seorang pengurus untuk menjaga segala hal berkaitan kerjaya. Saya harap akan bertemu dengan pengurus yang sesuai suatu hari nanti,” katanya.