Sesebuah persembahan caklempong memerlukan iringan beberapa alat muzik lain seperti gendang serta serunai, dan boleh dipersembah secara berdiri, duduk bersila atau dalam pergerakan khas (pacik).

Caklempong kini biasanya dipersembah semasa majlis-majlis rasmi atau digunakan sebagai muzik iringan bagi persembahan seni tradisional yang lain seperti pencak silat, randai, tarian inai dan tarian lilin.

Bagi memartabat seni persembahan caklempong ini, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan telah menubuhkan sebuah kumpulan caklempong yang dinamakan ‘Lentera Kesuma’.

Kumpulan yang telah ditubuhkan sejak 2017 ini dianggotai 15 orang murid tingkatan dua hingga empat, dan sering menyertai pertandingan muzik dan seni persembahan tradisional di seluruh negara.

Bakat dan kreativiti ahli-ahli kumpulan Lentera Kesuma telah terbukti apabila dinobatkan sebagai juara kategori caklempong di beberapa pertandingan muzik peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

“Berkat usaha gigih semua ahli pasukan, kami berjaya menjadi johan di Festival Seni Muzik Tradisional dan Seni Tari MRSM Se-Malaysia (Fesma) yang diadakan di MRSM Transkrian, Pulau Pinang.

“Kumpulan ini juga memenangi Anugerah Emas sempena Festival Kesenian Muzik Sekolah-Sekolah Menengah Malaysia Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, dan diadili komposer terkenal irama Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd. Zain atau Pak Ngah,” kata guru penasihat Lentera Kesuma, Nurin Alyani Bizaini, 27.

Menurut Nurin Alyani, selain meluaskan pengalaman muzikal dan kesedaran estetik kepada murid, peluang menyertai sesebuah seni persembahan sebegini turut mampu memperkembang daya komunikasi dan interaksi mereka.

“Seni persembahan caklempong juga melatih mereka untuk lebih berdisiplin dan membantu dalam pembinaan semangat kerjasama berpasukan,” katanya.

Persembahan Lentera Kesuma boleh dikatakan unik berbanding kumpulan caklempong yang lain kerana menyelitkan elemen tarian, nyanyian dan sorakan. Selain mahir bermain setiap alat muzik caklempong, ahli kumpulan ini juga mampu menyusun sendiri lagu yang ingin dipersembah, sama ada lagu tradisional atau moden.

“Selain mengembangkan bakat seni masing-masing, penyertaan saya dan rakan-rakan dalam seni persembahan caklempong ini sebenarnya adalah sebagai salah sebuah bentuk rekreasi untuk mengisi waktu senggang. Secara tidak langsung, ini mampu membantu menangani masalah gejala sosial dalam kalangan remaja.

“Muzik juga dapat memberi penekanan ke arah pembentukan kualiti diri dan sahsiah murid, yang merangkumi aspek emosi, kreativiti, nilai sosialisasi, estetika, dan etika,” kata Anas Azul Sidek, 16, murid tingkatan empat MRSM Kuala Klawang yang mengepalai kumpulan Lentera Kesuma ini.

Menariknya, Lentera Kesuma turut dijemput membuat persembahan di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Konsert Inspirasi Muzikal, mewakili genre muzik caklempong. Konsert ini turut memuatkan persembahan dari kumpulan seni tradisional lain seperti tarian tradisional, ghazal, gamelan, dan nyanyian.

“Hasrat kami adalah untuk memartabat dan melestari seni muzik tradisional nusantara ini, bukan sahaja kepada golongan muda di negara ini, namun juga ke seluruh dunia.

“Saya percaya dengan sikap saling berkerjasama dan semangat berpasukan yang tinggi, kami mampu meningkatkan mutu seni persembahan caklempong agar setanding dengan seni muzik tradisional sedunia yang lain,” kata Nurin Alyani mengakhiri temu bual.