Melihatkan keadaan semasa industri seni, tidak semua pihak meletakkan soal kualiti di hadapan berbanding dengan hal lain. Pastinya perkara tersebut sudah dirasai sendiri saat melihat banyak pihak lebih mengutamakan populariti berbanding dengan kualiti.

“Untuk berubah, kita kena bersatu. Semua pihak perlu tahu apa peranan mereka dan terus-terusan membina kualiti dalam setiap naskhah seni. Jika tidak sampai bila-bila pun kita akan ketandusan karya yang berkualiti dan mampu dibanggakan.

“Tidak semua orang memikirkan tentang kualiti. Yang menjadi masalah apa­bila mereka menjadikan bidang seni sebagai lubuk bisnes, ada agenda tersendiri dan mahu membina jenama masing-masing sahaja. Secara tak langsung ia menjejaskan keseluruhan industri,” kata Beto.

Ya, soal kualiti sering dibangkitkan oleh beberapa anak seni sejak dahulu. Namun, perkara ini nampaknya hanya diperjuangkan oleh beberapa nama seperti Beto, Sharifah Amani dan Zahiril Adzim (sekadar menyebut beberapa nama) yang berterusan meletakkan soal kualiti di hadapan.

Tapi sampai bila masalah yang sama harus dibangkitkan berulang-ulang kali? Sampai bila juga industri seni harus disogokkan dengan populariti semata-mata?

“Saya tidak menolak populariti tetapi ia mesti seiring dengan kualiti. Kalau perkara ini berjalan serentak pastinya industri kita akan dipandang tinggi. Mungkin orang nampak hanya saya dan beberapa pelakon lain sahaja yang bersuara.

“Saya tahu ada dalam kalangan rakan-rakan yang hanya berdiam diri. Mereka tiada pilihan kerana ada mulut yang perlu disuap. Mahu tak mahu mereka perlu menerima sahaja apa jenis tawaran untuk kelangsungan hidup,” tambahnya lagi.

Perubahan

SEBELUM ini ada segelintir pelakon yang membangkitkan isu penggambaran yang terlalu lama sehingga mengakibatkan tekanan kerja kepada sesetengah pelakon. Tiada ketetapan waktu kerja yang khusus ada kala membuatkan segelintir pelakon terpaksa berada di set berbelas-belas jam lamanya.

Mengulas mengenai perkara ini, Beto bersetuju sekiranya ada ketetapan yang dibuat mengenai hal tersebut. Baginya golongan pelakon dan kru teknikal juga memerlukan masa rehat yang cukup untuk terus mengekalkan produktiviti.

“Dalam bab ini saya memang sokong sekiranya ada ketetapan waktu dibuat. Sama ada pelakon mahupun kru, mereka tetap memerlukan masa rehat. Apabila penggambaran berlarutan dari awal pagi sehingga lewat malam, ia sedikit sebanyak menjejaskan banyak perkara.

“Mereka mempunyai keluarga dan pastinya soal kesihatan juga perlu diambil kira. Kalau ada ketetapan masa bekerja, rasanya semua orang boleh menyeimbangkan antara kerjaya dan keluarga dalam satu masa. Ini yang sepatutnya berlaku,” katanya yang baru sahaja selesai penggambaran telefilem Esok Untuk Kita di Kuantan, Pahang.

Dalam telefilem yang diarahkan oleh Azma Yusoof tersebut, Beto bergandingan bersama dengan Uqasha Senrose, Sara Ali, Sharul Kamal, Raja Azmi, Zaibo dan beberapa pelakon yang lain.

Telefilem terbitan Kembara Sufi Production Sdn. Bhd. itu bercerita tentang kisah rumah tangga antara Zulia (Uqasha) dan Hisyam (Beto). Dikurniakan seorang cahaya mata, kehidupan mereka berlangsung dengan baik sahaja.

Namun segalanya berubah apabila Zulia disahkan menghidap kanser. Kehidupan yang berlangsung dengan aman mula berubah apabila kehadiran Qalisya (Sara Ali) ke dalam perhubungan mereka.

“Ada sesuatu yang menarik tentang telefilem ini yang boleh dijadikan panduan kepada semua penonton. Tentu sahaja saya cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik kepada naskhah Esok Untuk Kita.

“Saya yakin Azma dan pelakon lain sudah memberikan yang terbaik untuk menghidupkan naskhah ini. Selebihnya saya serahkan kepada penonton untuk menilainya,” kata Beto mengakhiri perbualan.

PUN begitu pelakon yang popular dengan filem Bisik Pada Langit ini bersyukur kerana dia masih diberikan tawaran oleh kebanyakan pihak meskipun ada di antaranya terpaksa ditolak. Tambahnya, antara sebab utama dia menolak termasuklah kelemahan skrip yang menjadi tunjang utama kekuatan sesebuah naskhah.

Kisah yang cuba diangkat oleh segelintir produksi pula klise dan hanya mengisahkan cinta tidak direstui keluarga, antara dua darjat atau pun kisah perkahwinan untuk menyelamatkan empayar perniagaan keluarga. Semuanya menyesakkan dadanya sebagai pelakon.

“Saya menghormati pihak yang memberikan tawaran tetapi ada kalanya menerima skrip yang hampir sama jalan cerita. Yang berbeza mungkin watak lelaki dan perempuan sahaja. Kalau kandungan beberapa naskhah sudah sama, untuk apa saya menerima?

“Sebab itu saya selalu menggunakan media sosial terutamanya Twitter untuk bertanya adakah benar kisah begini yang penonton mahukan? Adakah benar penonton kita memang mahukan kisah begini?” ujarnya.

Menariknya, Beto bersyukur kerana dia masih mampu membuat pilihan sama ada mahu menerima atau tidak tawaran yang diberikan. Tentu sahaja dia juga mempunyai misi untuk memberikan kelainan dan tidak dilihat statik dengan naskhah klise.

“Untungnya saya bukan orang baharu dalam bidang ini. Tentu sahaja saya masih boleh membuat pemilihan untuk menerima atau menolak. Apabila menerima, ini merupakan tanggungjawab yang harus dipikul. Saya tak boleh buat sambil lewa,” tambahnya lagi.

Ditanya berapa peratus kah naskhah yang benar-benar memberikan kepuasan dalam tempoh setahun, Beto menyatakan hanya 25 peratus sahaja yang membuatkan dia berpuas hati. Tentu sahaja kepuasan yang dimaksudkan termasuklah gandingan pelakon, skrip, pengarahan dan segala hal yang menentukan hala tuju sesebuah produk.