LAH AHMAD belum sedia menyertai program realiti.

Pernah popular sebagai anggota kumpulan VE, Abdullah Ahmad atau lebih dikenali dengan nama Lah Ahmad mengakui dia belum bersedia untuk menyertai sebarang program realiti.

“Sebenarnya, saya ada menerima undangan untuk menyertai program realiti nyanyian sebelum ini tetapi saya akui belum terbuka hati untuk menerimanya.

“Apatah lagi sebelum ini saya lebih fokus kepada album-album kerohanian sendiri. Sekarang juga saya sedang sibuk menyiapkan album ketiga yang akan keluar tidak lama lagi,” jelasnya.

Tambah Lah, bukan senang sebenarnya untuk terlibat dengan program realiti apatah lagi perkara tersebut memerlukan komitmen yang tinggi.

“Kalau nak sertai program realiti, memang kena beri komitmen penuh untuk memberikan hasil yang terbaik. Bukan setakat ikut serta untuk suka-suka sahaja.

“Kalau ada yang memanggil saya sebagai penyanyi jemputan mereka, saya bersedia. Tetapi untuk terlibat dengan program realiti, rasanya belum masanya lagi,” katanya. - UTUSAN ONLINE