Jika mahu dibandingkan dengan kemunculannya hampir sepuluh tahun yang lalu, keadaan kali ini jauh benar berubah. Segala-galanya perlu dihadapi dengan tenang buat orang lama sepertinya.

“Dahulu saya cukup takut jika nama dijadikan bahan gosip di dalam akhbar atau majalah. Bila keluar sahaja kisah buruk, pasti orang tak mahu ambil berlakon atau memberikan apa-apa tawaran.

HAMPIR 10 tahun dalam industri, Sara masih mampu bertahan.
HAMPIR 10 tahun dalam industri, Sara masih mampu bertahan.

“Tapi situasi sekarang sudah berubah yang menyaksikan orang sanggup melakukan apa sahaja demi menaikkan nama sendiri. Lagi banyak kontroversi, lagi popular dan lagi banyak tawaran yang datang,” jelasnya.

Paling dirasakan apabila melihatkan perubahan besar yang berlaku kepada kebanyakan pihak yang kini lebih ‘bertuankan’ media sosial seperti Instagram dan sebagainya.

Apa yang paling ditakuti tatkala membacakan komen yang dilemparkan oleh segelintir orang yang mengaku sebagai peminat. Komen yang diberikan pula sangat mengerikan!

Walaupun ada kalanya dia sendiri kurang faham dengan permainan industri, Sara tidak menyalahkan mana-mana pihak sekiranya mahu menggunakan cara tersebut untuk kekal relevan.

Meskipun ada yang sanggup membuka aib sendiri untuk diperkatakan umum, itu adalah cara mereka. Namun dia tidak akan sesekali menggunakan cara tersebut untuk kekal relevan.

“Saya telah diajar untuk memberikan hasil kerja yang terbaik setiap kali diberi tawaran. Orang boleh melihat sendiri hasil kerja saya dan rakan-rakan seangkatan yang sangat mementingkan disiplin.

“Cuba lihat Nadiya Nisaa, Sharifah Amani, Zahiril Adzim dan beberapa nama lain, mereka mungkin kurang kontroversi tetapi masih mampu memberikan yang terbaik dalam lakonan.

“Jadi rasanya lebih baik saya menjalani kehidupan seperti biasa sahaja tanpa perlu memikirkan perkara lain. Apa yang paling penting adalah hasil kerja,” kata pelakon yang berusia 29 tahun ini lagi.

Rezeki

MENGULAS mengenai kehadiran orang baharu yang muncul bagaikan cendawan selepas hujan, Sara melihat itu sebagai satu perkembangan positif untuk industri.

Tambahnya mereka beruntung kerana diberikan peluang yang begitu besar namun dalam masa yang sama perlu membuktikan yang masing-masing mampu menunjukkan mutu lakonan yang baik kepada semua.

“Segala-gala berubah mengikut keadaan terkini. Dulu orang baharu tidak banyak diberikan peranan besar pada permulaan kerjaya tapi sekarang mereka mendominasi.

SARA gembira kerana naskhah Sesalan Terakhir memberikan banyak

“Tak ada masalah pun untuk kami yang sudah masuk ke dalam kumpulan yang ‘lama’ memandangkan rezeki tetap ada. Cuma mereka perlu bayar kepercayaan yang diberikan dengan kualiti kerja yang baik,” jelasnya.

Dalam pada itu Sara mengharapkan yang dunia lakonan tanah air akan bersatu demi membawa pemain-pemain industri ke peringkat antarabangsa.

Penyatuan tersebut sudah dapat dilihat dalam kelompok penyanyi dan pemuzik yang berjaya ‘mengeksport’ beberapa nama ke luar negara. Tidak mustahil untuk kita melihat lebih ramai pelakon tempatan berjaya menembusi pasaran luar.

“Ini antara harapan saya kepada dunia lakonan. Kalau penyanyi boleh ke luar negara mencari peluang baharu, kenapa pelakon tidak?” katanya ketika ditemui ketika penggambaran telefilem Sesalan Terakhir.

Bercerita mengenai telefilem terbitan Kembara Sufi Sdn. Bhd. itu, Sara gembira kerana dapat bekerjasama dengan Datuk Jurey Latiff Rosli yang bertindak selaku pengarah.

Menariknya ini kali pertama dia bergandingan dengan Jasmin Hamid yang disifatkan sebagai pengalaman berharga kerana dapat bekerjasama dengan pelakon yang penuh pengalaman itu.

“Bila melihatkan kekuatan jalan cerita dan kelainan watak yang diberi, saya tidak boleh menolak naskhah ini. Tambahan pula Faizal Hussein pun turut sama terlibat, ini memberikan lagi nilai tambah kepada Sesalan Terakhir.

“Bukan senang sebenarnya mahu bergandingan dengan pelakon hebat dan dalam masa yang sama mempertaruhkan jalan cerita yang baik,” katanya memberikan penghargaan kepada Jaja Ishak selaku Penerbit produksi berkenaan yang memberikan peluang tersebut.

Menjalani penggambaran di sekitar Kuantan, Pahang, Sesalan Terakhir turut mempertaruhkan beberapa nama seperti Hafiz Nolan dan beberapa pelakon lain lagi.