Pemilihan Kecik yang dahulunya merupakan vokalis kumpulan Hyper Act itu dilihat bertepatan dengan aliran muzik yang dibawa oleh Kristal selain keunikan vokal yang dimiliki pemuda berusia 24 tahun itu antara faktor utama dia terpilih.

Menurut Rodi, 32, mewakili anggota kumpulan berkata, sebelum ‘melamar’ Kecik secara rasmi, dia terlebih dahulu sering kali diundang untuk menjayakan persembahan pentas sebagai penyanyi utama.

“Dia masih muda dan ada emosi yang bagus untuk sebuah kumpulan seperti Kristal. Dia juga ada jiwa setiap kali membawakan lagu-lagu Kristal.

“Kita nampak usaha dan semangatnya yang sentiasa bersungguh-sungguh setiap kali kami jemput dia untuk menjadi vokalis jemputan. Dia sentiasa bersedia dan tidak memberi alasan tiap kali mahu meminta pertolongan.

“Justeru selepas beberapa kali berjumpa dan berbincang, kami sepakat untuk ‘melamar’ Kecik sebagai vokalis tetap,” katanya ketika ditemui pada majlis memperkenal Kecik sebagai anggota Kristal baru-baru.

Sebelum ini, vokalis kumpulan Kristal, Lan Solo membuat pengumuman mengundurkan diri pada November tahun lalu dan mahu mengubah haluan bergerak secara solo.

Pengunduran Lan atau Razlan Mohamed Yusof juga difahamkan atas faktor terasa hati dengan tindakan ahli kumpulan Kristal yang yang sering kali membelakangi dirinya dalam melakukan sebarang keputusan.

Persengketaan itu semakin keruh apabila Kristal dilihat mengeluarkan kenyataan dalam laman sosial untuk merehatkan Lan sewaktu dia sedang menyertai program Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Kini, baik Lan mahupun Kristal, masing-masing sudah membawa haluan sendiri dan menyambung karier muzik dengan aman tanpa sebarang perselisihan faham.

Bagi Rodi atau Muhamad Rodi Baharuddin, dia enggan menoleh ke belakang mengingatkan kisah lalu, sebaliknya mahu memfokuskan untuk meneruskan legasi Kristal dan tidak mahu khalayak menganggap mereka sudah terkubur walau pelbagai kisah yang tersebar sebelum ini.

“Kami sudah melupakan perkara yang berlaku dan kini meneruskan perjuangan Kristal. Kumpulan ini ditubuhkan oleh bapa saya dan tentunya kami sayangkan legasi Kristal ini.

“Saya harap peminat Kristal pun begitu juga, sama-sama lupakan hal yang sudah berlalu. Sentiasa sokong Kristal tanpa jemu ditambah lagi dengan anggota baharu ini agar dapat memberi seri yang lebih segar untuk kami berkarya.

“Untuk terus berada dalam industri, bukan satu kerja yang mudah. Tahun hadapan Kristal sudah mencecah usia 20 tahun dalam industri muzik tempatan.

“Ini satu pencapaian yang membanggakan bagi semua ahli kumpulan. Malah kami yakin peminat Kristal masih ada dan insya-Allah akan bertambah,” katanya yang turut memperdengar single baharu berjudul Cintaku Kristal pada majlis tersebut.

Selain Rodi dan Kecik, Kristal turut dianggotai Kechiq Afifi, 28, serta Acap, 25, dan berharap, setiap yang mereka cuba tonjolkan pada tahun ini sedikit sebanyak dapat mengubati kerinduan peminat.

Mahu bangkit kali kedua

KECIK bukanlah orang baharu dalam industri. Pengalaman yang dikaut selama setahun ketika bersama-sama kumpulan Hyper Act akan sentiasa dikenang dan sudah tiba masanya untuk dia membuka lembaran baharu demi masa depan.

Akur dan tidak ada daya kuasa untuk menghalang orang luar yang masih lagi mengaitkan dirinya dengan Hyper Act, Kecik bagaimanapun tidak memandang serius hal terbabit.

“Saya akui masih lagi ada yang kaitkan saya dengan kumpulan lama walaupun sudah dua tahun saya tidak bersama-sama mereka.

“Sekarang saya muncul kembali dengan Kristal walaupun pada awalnya saya ada perancangan mahu mengeluarkan single solo, namun terpaksa ditangguhkan.

“Semuanya demi Kristal sebab saya sebenarnya lebih selesa menyanyi berkumpulan. Apabila tawaran daripada pihak mereka hadir, saya tidak menunggu lama untuk memberi persetujuan,” ujarnya.

Sementara itu, Kecik atau Mohammad Fauzi Kamarudin memohon untuk diberi peluang dan ruang untuk dia berkarya bersama-sama Kristal bagi membuktikan kemampuan bakatnya.

“Jangan bandingkan saya dengan vokalis lama. Dan jangan kaitkan saya lagi dengan kumpulan lama. Berilah kami ruang untuk berkarya dengan nafas baharu.

Saya nak lupakan kisah silam sewaktu masih dengan Hyper Act.

“Ini boleh dikatakan kebangkitan semula saya bersama-sama Kristal bagi meneruskan minat dalam karier muzik,” luahnya.