Masakan tidak, rata-rata belia dalam lingkungan usia Poklip dan yang lebih tua mengenali Kristal. Memang sinonim nama Lan dan Kristal. Tetapi apakan daya, kalau itu jalan terbaik kita mahu buat macam mana lagi.

Lagipun, kerjaya solo Lan juga semakin lama semakin menyinar. Selepas program Gegar Vaganza musim lepas, nampaknya mencurah-curah rezeki penyanyi yang cukup mantap vokalnya ini.

Yalah, mesti Lan sudah ada strategi sendiri sebelum mengundurkan diri. Takkan mahu bergerak solo tanpa perancangan rapi, kan? Nanti yang rugi Lan dan keluarga juga.

Bercakap tentang Kristal, Poklip dengar mereka masih belum bertemu dengan penyanyi yang boleh menggantikan Lan. Mungkin agak sukar untuk mereka mencari penyanyi yang benar-benar berjiwa rock seperti mereka.

Lagipun, hendak menyanyi dalam satu kumpulan bergenre rock bukan boleh main-main. Apatah lagi, Kristal satu nama besar. Takkan hendak cari ‘penyanyi’ yang sekadar hebat dalam laman sosial sahaja, eh!

Poklip dengar juga, mereka ada merisik seorang pelawak yang vokalnya memang cukup mantap untuk menjadi vokalis kumpulan yang cukup popular dengan lagu Seragam Hitam itu. Ala, kalau cakap suara lantang semua tahu siapalah.

Mungkin Achey mempunyai ciri-ciri untuk berdiri sebagai vokalis kumpulan Kristal. Tetapi Poklip tak rasa itu perancangan masa panjang mereka. Kerjaya seni Achey pun sudah sibuk, bagaimana hendak jadi vokalis pula.

Mungkin sekadar menyumbang suara untuk satu lagu yang dicipta khas buat Achey. Seperti kumpulan Meet Uncle Hussain dahulu. Black pun pernah menjadi vokalis mereka untuk sebuah lagu.

Poklip berharap sangat Kristal bijak dalam menyusun atur langkah seni mereka. Sayang juga kalau diam tanpa sebarang berita. Lagipun, nama Kristal sudah kukuh dalam industri.

Mungkin boleh buat pertandingan mencari pengganti Lan. Boleh juga Poklip cuba, kan? Walaupun suara ala katak di dalam longkang rumah, kita kena yakin ya. Tapi bolehlah menyanyi daripada... eh!

SOLOK LADA: Dengar cerita ramai pihak yang mempertikai laporan kesihatan mental penyanyi, Haqiem Rusli. Poklip tak mahu ulas lanjut nanti tersalah cakap kita pula yang dikecam. Takut kita.