Itulah Datuk Syafinaz Selamat, penyanyi dan guru vokal hebat yang tanpa jemu dan lelah menurunkan ilmu kepada anak muda untuk menjadi insan berbakat dan berilmu dalam dunia seni muzik.

Dalam meniti rutin harian membantu pelajar di Jabatan Muzik Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor; Akademi Seni Kebangsaan (Aswara) serta Koir Kebangsaan Malaysia dan Permata Seni Koir, Syafinaz, 45, mengakui, ada ketikanya dia terasa mahu meninggalkan profesion tersebut.

Perasaan itu muncul bukan kerana dia tidak lagi sudi mendidik para pelajarnya tetapi kerana kerinduannya untuk kembali beraksi dalam industri hiburan.

Bagaimanapun, rasa itu dibiarkan berlalu dan hasrat hanya disimpan kemas di lubuk hatinya. Harapan dan pujukan para pelajar agar dia kekal mencurah ilmu membuatkannya mengorbankan rasa dan keinginan sendiri.

Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Ingin Bersamamu ini, enam buah lagu baharu sudah dihasilkan namun belum ada masa sesuai untuknya berkongsi karya tersebut dengan peminat kerana mementingkan tanggungjawab terhadap para pelajarnya.

Ujar Syafinaz, sekiranya dia nekad untuk memasarkan lagu-lagu baharu itu, dia perlu memberi sepenuh masa kepada kerja promosi sekali gus melepaskan jawatan guru yang disandangnya kini.

Keputusan seperti itulah yang amat sukar dilaksanakan. Lantas sehingga hari ini dia masih berkorban semata-mata untuk melihat kejayaan dan kebahagiaan insan sekelilingnya.

“Rutin saya sama sahaja sejak bertahun-tahun yang lalu. Saya terlalu sibuk membantu orang lain sehingga saya tiada waktu untuk menyelit sebagai penyanyi dalam industri muzik sekarang.

“Sejujurnya sudah banyak kali terdetik untuk saya meninggalkan jawatan sebagai tenaga pengajar dan kembali mengejar impian dalam bidang seni suara.

“Namun setiap kali saya menyuarakan hasrat itu, pasti para pelajar saya merayu dan memujuk supaya saya terus membantu mereka menghabiskan pengajian. Saya kasihankan mereka kerana ini melibatkan masa depan,” ujarnya yang meluahkan rasa bangga apabila pengorbanannya dibalas dengan pencapaian terbaik daripada anak didiknya.

Melihat para pelajarnya meraih kejayaan dan mampu mencipta nama di persada muzik tempatan membangkitkan semangatnya untuk terus berkongsi ilmu di menara gading.

“Kecintaan saya terhadap dua bidang - membuat persembahan dan mengajar. Jadi apabila saya menyaksikan perkembangan positif pelajar saya daripada tidak boleh menyanyi sehingga mampu menjadi penyanyi yang sangat bagus, itu memberi kepuasan yang begitu berbeza.

“Setiap kali pelajar saya menghasilkan yang terbaik, hati saya berbunga bangga kerana saya yang bantu mereka untuk menjadi sehebat itu.

“Selain ‘cair’ dengan pujukan pelajar, pencapaian mereka juga mendorong saya meneruskan kerjaya ini. Saya mahu mengutamakan kebahagiaan mereka berbanding kebahagiaan saya kerana seorang guru itu lilin yang membakar diri bagi menerangi orang lain,” kongsinya.

Bakat dan perniagaan

MENGENAI situasi masyarakat yang lebih memilih rupa berbanding bakat, tenaga pengajar vokal serta juri Bintang RTM 2018 ini berkata, situasi tersebut tidak mampu dinafikan. Namun sukar baginya untuk mengubah keadaan itu memandangkan turut berkait dengan strategi perniagaan dalam indutri muzik tempatan.

“Majoriti masyarakat kita mempunyai persepsi, jika mahu jadi penyanyi atau pelakon, mereka perlu memiliki bentuk fizikal yang menarik.

“Saya pernah duduk dengan seorang produser dan apabila seorang pelayan restoran datang ke meja kami, dia terus bertanya, adakah pelayan itu mahu menjadi penyanyi. Padahal pelayan tersebut belum membuka mulutnya.

“Tetapi disebabkan dia mempunyai wajah yang cantik dan menarik, dia ditawarkan tanpa diketahui sama ada dia berbakat atau tidak. Saya sangat terkejut dengan situasi itu tetapi saya faham kerana itu melibatkan perniagaan,” jelasnya.

Bagaimanapun, Syafinaz masih percaya bakat merupakan tunjang utama untuk menjadikan seseorang penyanyi itu berjaya.

“Saya percaya kalau anda mahu menjadi artis, bakat perlu menjadi nombor satu dan perkara terpenting. Kemudian anda kena kerja kuat tanpa ada rasa putus asa.

“Setelah itu, anda perlu sentiasa mahu memperbaiki diri dari semua aspek termasuklah fizikal. Bagi saya, luaran seseorang itu boleh diperbaiki tetapi saya bukan bercerita tentang pembedahan plastik.

“Yang saya maksudkan ialah tentang keyakinan, pemakaian dan cara anda bawa diri. Saya percaya semua itu boleh diperbaiki walaupun memakan masa yang lama,” akhirinya.

Ya, saya cemburu!

DITANYA apakah timbul rasa cemburu tatkala melihat rakan artis seangkatannya membuat kemunculan semula dan kembali aktif beraksi di pentas nyanyian, penerima anugerah pingat darjah kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) pada Februari lalu itu tidak menafikan rasa tersebut.

“Ya, terus-terang saya katakan, saya memang cemburu melihat beberapa rakan penyanyi yang sudah lama tidak muncul kini kembali aktif dan berpeluang menampilkan lagu baharu mereka.

“Setiap kali menyaksikan mereka membuat persembahan di kaca televisyen, saya kagum dan cemburu dengan rezeki mereka. Adakalanya saya tertanya-tanya bila pula rezeki saya untuk turut sama kembali aktif.

“Walaupun saya sentiasa dijemput menyanyi di majlis tertutup namun timbul juga kerinduan untuk mengadakan persembahan di pentas besar dengan rakan artis lain serta bertemu peminat ketika sesi promosi lagu,” jelasnya.