Popular dengan lagu Sahabat, Pitahati bakal mempersembahan konsert yang akan memuatkan beberapa perubahan terutamanya dari segi konsep visual, cahaya, idea lakon dan prop.

 

Dikenali kerana sering menghasilkan sesuatu yang baharu, bukan sahaja dalam lagu mereka, Pitahati berkata, mereka mahu meletakkan satu paras dalam bidang seni persembahan.

 

“Kami menjadikan persembahan di Auditorium Muzium Negara, Kuala Lumpur dua tahun lalu sebagai titik permulaan. Kami  semakin serius dalam menyampaikan

konsep keseluruhan album dalam bentuk visual persembahan.

 

“Lokasi DPAC kerana kami memerlukan tempat yang berlainan supaya lebih ekspresif dan mempelbagaikan penyampaian untuk memberi impak yang lebih terhadap penonton.

 

“Perbezaan persembahan kali ini mungkin terdapat pada skala yang lebih besar dengan adunan dan pemilihan repertoire lagu-lagu daripada seluruh album yang ada disertai ‘projection mapping’ yang diisi dengan reka cerita yang menarik, selain cuba mengisi dan mencipta konsep-konsep yang baharu pada setiap lagu yang disampaikan,” kata kumpulan itu.

 

Dalam pada itu, Pitahati juga bakal menyelitkan sedikit sentuhan lakon teatrikal (seni lakonan) yang akan dipersembahkan kepada para penonton yang hadir.

“Kami menitikberatkan unsur-unsur bunyian yang keluar daripada instrumen masing-masing maka secara tidak langsung berhasil mengeluarkan karakter bunyi yang tersendiri.

“Seperti dalam album kedua kami, muzik dan lagu lebih organik, tradisional dan punya nilai sastera yang tinggi, ringkas dalam penghasilan lagu tetapi padat dengan muzik yang berkualiti tinggi,” tambah mereka.

Sementara itu, peminat boleh mendapatkan tiket dengan menghubungi  Rahman Saharddin (‪+60149470290‬) atau Syamil (‪+60104034413‬) berharga RM80 (Normal ) dan RM75 (Mahasiswa/Pelajar). Tempat adalah terhad kepada 200 tempat duduk sahaja. - UTUSAN ONLINE