Konsert tersebut pada asalnya diadakan selama dua hari iaitu pada 25 Ogos dan 26 Ogos ini.

Menurut Datuk Ramli Sarip, disebabkan penarikan diri penaja maka konsert hanya akan diadakan sehari sahaja iaitu pada 25 Ogos.

"Memang jika mengikut perancangan asal konsert ini diadakan dua hari kerana ada penaja yang mahu menaja pada 26 Ogos tetapi apabila penaja tarik diri di saat akhir, saya berfikir kita adakan persembahan untuk satu hari sahaja iaitu pada 25 Ogos," katanya pada majlis sidang akhbar di sini, hari ini.

Turut hadir, kumpulan Raihan dan pengurus Ramli, Juriah Banding.

Ramli Sarip dan anggota kumpulan Raihan

Ramli Sarip dan anggota kumpulan Raihan

Ramli berkata, beliau tidak merasa kesal walaupun agak terkilan dengan sikap penarikan diri penaja berkenaan sedangkan pada sidang akhbar pertama yang diadakan beberapa minggu lepas, turut dihadiri oleh wakil penaja itu.

"Semasa dalam sidang akhbar pertama bagi menguar-uarkan tentang konsert ini, saya siap bergambar dengan wakil penaja beserta produknya. Itu boleh dianggap sebagai satu bentuk publisiti bagi pihak mereka dan produk mereka.

"Tetapi di saat akhir atas alasan masalah dalaman mereka, penajaan ditarik walaupun surat perjanjian penajaan ada dan telah ditandatangani," kata Ramli yang tetap berfikiran positif dan bersangka baik walaupun kesan penarikan diri pihak penaja itu sedikit sebanyak memberi impak dari aspek imej insan bernama Ramli Sarip.

Ramli yang tidak gemarkan isu kontroversi memberitahu beliau hanya mahu Konsert Gala Pelarian kelak berjalan lancar, damai, telus dan pada masa akan datang, beliau akan lebih berhati-hati dalam menerima tawaran penaja.

Atas dasar konsert diadakan sehari sahaja, tambahan 200 kerusi dilakukan untuk penonton yang hadir di Dewan Merdeka kelak.

Sementara itu, salah seorang anggota kumpulan Raihan, Abu Bakar berkata, penarikan diri oleh pihak penaja di saat akhir sepatutnya tidak berlaku.

Namun senario itu tetap terjadi dan ia juga pernah dilalui oleh kumpulan Raihan.

"Penaja tarik diri di saat akhir ialah satu perkara yang berlaku bukan sahaja dalam negara kita tetapi juga di luar negara.

"Cuma apa yang boleh saya katakan di sini, Raihan tetap akan memberikan persembahan 100 peratus pada malam Konsert Gala Pelarian," katanya usai majlis sidang akhbar. -  UTUSAN ONLINE