Biarpun terpaksa bersaing dengan beberapa program hiburan di lokasi lain yang turut diadakan secara percuma, acara tahunan edisi keenam anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini berjaya menggamit kehadiran lebih 10,000 peminat pelbagai peringkat usia dan agama.

Selain penampilan mereka, barisan artis lain seperti Akim & The Majistret, Waris, Masya Masyitah dan Uchop Ahmad ternyata membuatkan peminat tidak berganjak menonton konsert yang diadakan secara santai tanpa sebarang protokol rasmi.

Mengetengahkan tema International Folklore Festival (Festival Kesenian Budaya Antarabangsa), konsert dirasmikan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohd. Azizi Mohd. Zain dimulakan dengan persembahan kebudayaan dari sembilan buah negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah yang menampilkan tarian etnik Melayu, Cina, India, Punjabi, Borneo, Indonesia (Bandung), Jepun (Miyoshi), Korea Selatan (Asan), Thailand, Filipina, Iran, Finland dan Botswana.

Tepat pukul 10.30 malam, segmen yang ditunggu-tunggu iaitu persembahan pentas oleh barisan artis jemputan. Dikendalikan oleh penyampai radio Selangor FM, Ninie, menjemput penyanyi Uchop Ahmad sebagai pembuka tirai dengan mendendangkan dua buah lagu berjudul Abadi Kasih dan Roman Cinta.

Disusuli penyanyi remaja meningkat naik, Masya Masyitah menghiburkan peminat menerusi lagu Mawar Terbiar dan Halimunan.

Kemunculan Santesh yang popular dengan lagu Amalina, memecah segenap ruang dengan sorakan peminat yang hadir pada malam itu. penyanyi berbangsa India ini berjaya menambat hati pengikut berbangsa Melayu dengan kelunakan vokalnya.

Separuh persembahan dihangatkan lagi dengan kumpulan Akim & The Majistret yang menghadiahkan lima lagu kepada peminat yang tetap utuh menanti hingga ke penghujung acara. Ara tampil menyanyikan lagu popularnya Bunga dan diikuti giliran Waris dengan lagu berjudul Lagu Bola dan Gadis Jolobu.

Tepat pukul 11 malam, XPDC tampil dengan barisan ahli kumpulan yang terdiri daripada Ali selaku vokalis, Izo (gitar), Arif (gitar), Eddie (bes) dan Lola (dram). Meskipun hujan renyai turun membasahi bumi, peminat sedikit pun tidak berganjak.

Seleksi lagu seperti Akhir Zaman, Selendang Merdeka, Doa dan Semangat Yang Hilang membuai kembali era kegemilangan kumpulan itu yang melabuhkan tirai tepat pukul 12 malam. - UTUSAN ONLINE