Terkilan dengan sikap pelakon itu, A.Aida atau Zaidah Awang, 49, turut memberitahu itu adalah pengalaman terburuk sepanjang 20 tahun melibatkan diri dalam dunia penerbitan di bawah syarikat miliknya, A. Aida Productions.

Ini kerana sebelum para pelakon utama bersetuju menerima tawaran, mereka sudah dimaklumkan butiran kontrak yang meminta agar menguar-uarkan drama tersebut dalam media sosial.

Justeru, pelakon utama tersebut bakal berdepan dengan saman kerana melanggar kontrak, namun atas belas kasihan, A. Aida hanya mengambil pendekatan menyenarai hitam daripada produksinya.

Drama arahan Pali Yahaya itu membariskan pelakon Ashraf Muslim, Raysha Rizrose, Mona Allen, Fazlina Ahmad Daud, Wilma Mohamad serta ramai lagi.

Ikuti temubual antara HITS dan A.Aida ketika berkunjung ke ibu pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur, baru-baru ini bagi menyingkap kisah sebenar yang berlaku.

HITS: Ramai yang berteka-teki siapa gerangan pelakon utama yang dimaksudkan. Mengapa merahsiakan nama pelakon itu dan membiarkan orang luar membuat andaian sendiri?

A.AIDA: Pelakon utama itu lebih universal berbanding jika saya menyebut nama orang yang dimaksudkan. Dalam drama tersebut semua pun pelakon utama. Daripada watak ibu, ayah, datuk, nenek, semua kita boleh katakan sebagai pelakon utama drama Dia Menantu Rahsia.

HITS: Jadi apa pula komen Datuk apabila ada yang mendakwa itu hanya sekadar gimik untuk melariskan drama tersebut?

A.AIDA: Mana ada gimik! Takkanlah saya marah-marah sampai wartawan telefon dan satu Malaysia sudah kecoh masih dipanggil gimik?

Saya seorang yang tegas bab kerja, kalau tidak bersikap sedemikian, tidak mungkin saya dapat bertahan di mana saya berada sekarang.

Orang yang tegas sahaja boleh berjaya dan sebab itu saya bertegas dengan semua produksi. Sebab itu bila saya tengok mana-mana artis tak bantu promosi hasil kerja, itu bermakna profil mereka tidak bagus.

Kalau kongsi gambar sedang makan dan swafoto... perkara yang tak mendatangkan hasil, boleh pula muat naik! Sedangkan hasil kerjaya yang bagi pulangan duit untuk bayar keperluan diri, sedikit pun tak hargai untuk berkongsi dalam laman sosial.

HITS: Sebuah blog tidak bertanggung jawab telah melemparkan laporan fitnah terhadap Datuk dengan mendakwa pelakon yang dimaksudkan itu adalah Ashraf dan Raysha? Boleh jelaskan?

A.AIDA: Saya langsung tak sebut nama pelakon, bagaimana mereka boleh semudah itu memetik nama pelakon? Ashraf seorang pelakon yang bagus dan tidak memberikan masalah kepada produksi. Dia juga telah menjalankan tanggungjawab yang sepatutnya sebagai seorang hero dalam cerita berkenaan.

HITS: Apakah akan ada tindakan susulan terhadap penulis blog yang sengaja mencetuskan provokasi dan sudah melibatkan kredibiliti selaku produser tercalar.

A.AIDA: Saya ada merujuk kepada rakan wartawan, kalau mereka kata saman, maka saya akan saman! Namun buat masa ini saya mengambil nasihat para media untuk mendiamkan diri dan tidak mahu melayani hasil tulisan tidak berasas tersebut.

Ikutkan hati saya nak saman kerana suka-suka hati mereka sahaja menokok tambah kenyataan dan memutar belit fakta. Sungguhpun saya lihat ia agak keterlaluan, tetapi saya masih ada sikap sabar. 


..................................................

Gambar ABD. RAZAK AID