Mamat menggarap kisah gengster di Ipoh, Perak sebagai latar bekalang penceritaan. Kisah sebuah kumpulan gengster 747 yang berbalah sesama sendiri dihubung jalin dengan kisah Amir lakonan Shuib Sepahtu dan Loqman (Syuk Balas) yang baru sahaja menyertai kumpulan tersebut.

Kedua-dua sahabat baik yang datang dari kampung ini menganggap penyertaan mereka dalam kumpulan tersebut sebagai satu perkara yang indah dan bakal mendapat kemegahan.

Namun sebaliknya berlaku apabila mereka berhadapan dengan pelbagai situasi sukar termasuk terpaksa melakukan kerja yang sia-sia seperti kebanyakan orang bawahan yang lain.

Dalam iklim persekitaran masyarakat majmuk di Malaysia, kisah gengster dan kumpulan kongsi gelap bukan perkara baru. Sejak puluhan tahun lalu ada sahaja kumpulan baru muncul sehingga menarik perhatian kebanyakan orang.

Bagi Mamat sendiri, dia menghasilkan filem ini berdasarkan kisah benar yang pernah terjadi satu ketika dahulu. Mengambil inspirasi kepada kisah yang pernah terjadi, Amir & Loqman Pergi Ke Laut merupakan hasil eksperimen pengarah ini.

Menariknya hasil buah tangan terbaru pengarah ini berlainan jika mahu dibandingkan dengan filem-filem yang pernah diarahkannya sebelum ini termasuk Apokalips X, Zombi Kampung Pisang dan Hantu Kak Limah Balik Rumah.

Plot dan naratifnya juga sempurna, berjalan lancar dan penonton tidak terganggu dengan babak-babak tidak penting dan menjengkelkan.

Sebelum ini dia pernah menghasilkan telefilem yang mirip kisah ini tetapi ditolak oleh stesen televisyen kerana kurang bersesuaian untuk tayangan umum.

Pun begitu kisah yang cuba disampaikan oleh Mamat kali ini cukup jelas jika mereka melihat sendiri 'lapisan' atas cerita ini iaitu masuk gengster bukan untuk bermegah.

Kisah kemewahan, kesenangan dan keistimewaan yang dimiliki oleh ahli gengster hanya retorik dan bagai kisah dongeng. Mereka hanya berhadapan dengan kesukaran walaupun duduk di bahagian tertinggi kumpulan yang disertai.

Pun begitu pujian harus diberikan kepada Shuib dan Syuk yang berjaya menghidupkan filem ini. Digambarkan sebagai pengikut yang menurut sahaja perintah, watak Amir dan Loqman dibawakan secara komedi.

Walaupun berdepan dengan ancaman ketika menyatakan hasrat untuk keluar daripada menganggotai kumpulan tersebut, mereka tetap bercita-cita mahu membuka restoran di tepi laut yang menjadi impian.

Selain mereka, filem ini juga dilakonkan antaranya Soffi Jikan sebagai Big Joe, Zarina Anjolie (Balqis), Kunie (Mata Sedih), Dewa Sapri (Manja), Kazar (Chatchai), Rashidi Ishak (Dr. Murad) dan Nadia Mustafar (Popinjey).

Gengster kampung

Amir & Loqman Pergi Ke Laut mengisahkan keinginan dua sahabat ini untuk keluar daripada sebuah kumpulan gengster. Mereka cuba merompak kedai-kedai kecil seperti kedai pinjaman wang kerana perlu membayar RM30,000 seorang sebagai syarat untuk keluar daripada kumpulan berkenaan.

Cubaan mereka selalu gagal dek sifat mereka yang lurus bendul malah tak pernah tahu cara untuk melakukan sebarang kegiatan jenayah. Amir dan Loqman menyangka akan popular, mudah mendapat teman wanita, memasuki kelab secara percuma dan pelbagai lagi kemewahan dan kemudahan apabila menyertai kumpulan gengster.

Sewaktu menganggotai kumpulan itu mereka diberikan kerja-kerja kecil yang langsung tidak memberi sebarang faedah kepada mereka. Demi meneruskan kehidupan, Amir dan Loqman masing-masing bercita-cita untuk membuka sebuah restoran di tepi laut sebaik sahaja berjaya keluar daripada kumpulan tersebut.

Malah memasang niat untuk membawa bersama-sama Mata Sedih, kakak yang selama ini menjaga mereka sejak memasuki kumpulan itu. Pada masa yang sama, Loqman pula telah digoda oleh teman wanita Big Joe, ketua kumpulan gengster mereka iaitu Balqis.

Pelbagai kejadian lucu berlaku sepanjang misi terakhir mereka sehingga ada yang hampir membahayakan nyawa. Adakah mereka berjaya menyelesaikan misi untuk keluar daripada kumpulan gengster? Apa yang berlaku dengan impian mereka untuk membuka restoran?

Semuanya bakal terjawab dalam Amir & Loqman Pergi Ke Laut di pawagam mulai 25 September 2014.