Sepanjang lebih tiga tahun berkecimpung dalam nyanyian, kesetiaan peminat atau yang kini disebut oleh golongan hipster sebagai `kipas susah mati’ (die hard fans) terhadap Khai Bahar tidak berbelah bahagi.

Kerana kesetiaan mereka, jejaka yang berasal dari Perlis ini telah mengumpul 18 trofi anugerah di dalam dan luar negara. Tidak mudah sebenarnya bagi artis yang masih baharu dalam industri, malah ada segelintir artis yang sudah lama aktif masih belum mencapai kejayaan seperti Khai Bahar. Justeru rezeki yang diperoleh penyanyi ini dianggapnya sebagai hadiah kepada para peminat yang setia bersama sejak awal bergelar artis.

Antara anugerah yang dimenangi Khai Bahar adalah Artis Baharu Meletop Era 2017, Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular (ABP), Artis Paling Popular di Anugerah Planet Muzik 2017, Top Top MeleTOP Era 2018 dan Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2018.

Bisnes tudung

Khai juga bersyukur banyak kenangan manis yang dilaluinya sepanjang 2018. Antaranya memenangi beberapa anugerah dan impian mahu berduet dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza tercapai.

Lagu Cinta Syurga duet mereka berdua menjadi siulan ramai. Malah lagu zikir ini kerap dimainkan di majlis-majlis keagamaan.

Apakah agaknya impian Khai Bahar untuk tahun baharu 2019?

“Sejujurnya sudah lama saya memikirkan mahu buat bisnes. Maklumlah kerjaya nyanyian ini ada pasang surutnya. Jadi bisnes adalah perancangan jangka panjang untuk masa depan.

“Kalau ikutkan hati saya teringin buat bisnes tudung. Itu sekadar idea. Namun dari segi perlaksanaan belum difikirkan lagi,” kata Khai yang popular dengan lagu Luluh dan Bayang.

Peminat jadi pemantau

Bukan calang-calang peminat ya, mereka bukan sahaja menyokong, malah menjadi pemantau untuk kebaikan Khai Bahar.

“Saya akui mereka sentiasa mahu memastikan yang terbaik buat saya bukan sahaja dari sudut kerjaya malah imej juga. Misalnya, dulu saya selalu lepak di tempat terbuka. Jadi, ada peminat menegur agar jangan terlalu kerap lepak kerana perlu menjaga eksklusif sebagai artis. Sekali sekala tidak mengapa.

“Iyalah, kadang-kadang saya lupa diri ini seorang artis sehingga tidak kisah lepak di tempat-tempat terbuka. Betul kata peminat, saya harus kurangkan aktiviti sebegitu untuk menjaga eksklusif dan keselamatan diri.

“Sebagai artis yang juga manusia biasa, tidak semua yang kita lakukan itu betul. Jadi, saya perlukan pemantau seperti peminat untuk menegur apa yang patut. Saya tahu, apa yang mereka lakukan untuk kebaikan saya,” katanya.

Rapat dengan peminat

Walaupun panas terik dan hujan badai silih berganti, peminat tetap tidak lelah untuk terus setia bersama Khai Bahar atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin, 24.

Pada saat ramai penyanyi baru atau yang sedia ada tenggelam timbul dengan dugaan dunia seni, Khai Bahar masih boleh berpaut dengan doa-doa peminatnya dari kelab peminat Khai Bahar Empire.

“Alhamdulillah, saya bersyukur dikurniakan para peminat yang setia menyokong dari awal saya menyanyi sehinggalah sekarang. Hanya Allah yang mampu membalas jasa kalian.

“Saya dan peminat sangat rapat. Apabila bersama mereka, saya tidak rasa diri ini adalah artis, malah sudah seperti ahli keluarga. Walaupun tiada pertalian darah, mereka sudah saya anggap seperti keluarga kedua.

“Saya pun tidak menyangka dalam apa–apa acara berkaitan saya, pasti mereka terlibat sama memberikan sokongan. Dalam apa sahaja acara anugerah terutamanya yang melibatkan undian, mereka berkorban bertungkus-lumus untuk memastikan saya menang. Ada yang sampai tidak tidur malam kerana mahu memastikan yang terbaik berpihak kepada saya.

“Benar, apa sahaja anugerah adalah rezeki, namun tanpa penat lelah peminat, siapalah saya untuk menggenggam trofi. Pengorbanan mereka tidak dapat saya balas. Saya hanya mampu menghiburkan dan mendoakan yang terbaik buat mereka. Itu pun baru sedikit nak dibandingkan banyaknya jasa mereka.

“Saya sangat terharu kerana mereka ikhlas dan sentiasa membuktikan yang terbaik buat saya. Apa yang saya boleh cakap, terima kasih yang tidak terhingga dari lubuk hati yang paling dalam,” kata Khai Bahar.

Katanya lagi, untuk mengekalkan hubungannya dengan peminat, dia sentiasa memperuntukkan masa dalam menjayakan apa sahaja aktiviti yang dijalankan peminatnya.

Sepanjang 2018, Khai Bahar meraikan para peminatnya bukan sahaja di Malaysia, malah di Brunei, Indonesia dan Singapura. Ini sesuatu yang mengagumkan apabila artis yang baru berusia tiga tahun dalam industri berjaya mengumpul peminat dari beberapa buah negara.

“Apabila saya menyuarakan mahu mengadakan perjumpaan bersama peminat, mereka yang akan menguruskan semua daripada persiapan awal hingga akhir. Malah, mereka juga berjaya mendapatkan banyak penaja untuk setiap acara yang dianjurkan. Memang mereka sungguh hebat!” katanya ketika ditemui dalam acara bersama peminat, The Greatest Love Of Khai Bahar 2.0 akhir tahun lalu.

Dalam majlis tersebut, lebih 600 peminat hadir termasuk dari Indonesia. Selain persembahan istimewa Khai Bahar, para peminat juga membuat persembahan dan pelbagai aktiviti lain disediakan.