Filem Hantu Kak Limah arahan Mamat Khalid, yang ditayangkan Ogos lalu, mendapat kutipan pecah panggung melebihi RM36 juta. Ini diikuti dengan Munafik 2 (arahan Syamsul Yusof), muncul sebagai filem terlaris dalam sejarah sinema Malaysia setakat ini dengan kutipan RM38 juta (di Malaysia sahaja, tidak termasuk Singapura dan Indonesia). Seterusnya Paskal The Movie (arahan Adrien Teh) dengan kutipan mencecah RM30 juta (termasuk Brunei dan Singapura) dan paling terkini, Polis Evo 2 (arahan Joel Soh dan Andre Chiew) yang sudah mencecah RM20 juta. 

Kejayaan komersial luar biasa bagi empat buah filem ini sudah tentu menyatakan tentang corak konsumsi khalayak di Malaysia terhadap filem tempatan. Yang jelas, walaupun populariti masih kepada filem-filem bergenre dan yang bertaraf blockbuster (yang terbatas kepada seram, aksi, seram-komedi atau aksi-komedi), para khalayak sudah mula memilih filem-filem bergenre yang dihasilkan dengan baik secara nilai produksinya. Kebanyakan filem yang tidak dihasilkan bersungguh-sungguh (secara pembikinannya) telah ditolak khalayak dan gagal di pasaran, selain faktor lain yang turut berperanan.

Membicarakan filem Hantu Kak Limah dan Munafik 2, sambutan juga bergantung kepada sutradara yang sudah lama menempa nama (Mamat Khalid dan Syamsul Yusof) dengan populariti filem-filem terdahulu serta mempunyai ramai pengikut. Beberapa filem aksi sebelum ini yang mendapat sambutan hangat seperti Polis Evo (Ghaz Abu Bakar) dan Abang Long Fadil 2 (Syafiq Yusof) turut memperlihatkan persembahan babak-babak aksi fizikal dan kecanggihan teknologi persis filem-filem aksi blockbuster Hollywood.

Bagaimanapun, dapat dikesan yang percubaan pendekatan lain (seperti menghasilkan filem-filem ‘kecil’ dengan isu-isu realiti sosial) masih belum menarik perhatian kelompok khalayak yang lebih besar. Contohnya, One Two Jaga (arahan Namron) yang berkisar kepada korupsi polis dan Guang (arahan Quek Shio Chuan) tentang isu autisme. Saya percaya kebanyakan yang menonton One Two Jaga di pawagam umpamanya, merupakan golongan khalayak yang ‘lebih serius’ dan meminati sinema secara tegar. Ini berbalik kepada persoalan tahap ‘kecelikan’ dan apresiasi filem sebenarnya. Kelompok khalayak kita hari ini masih terbatas kepada mereka yang rata-ratanya hanya menonton filem-filem arus perdana terutamanya Hollywood dan filem tempatan bergenre tertentu. Bukannya khalayak yang adventurous apatah lagi sofistikated dengan citarasa dan pilihan yang rencam walaupun dalam kalangan ‘kaki wayang’.

Sifat keterbukaan dan bentuk cita rasa terhadap kepelbagaian genre, stail dan pendekatan filem serta sinema dunia bukan dominan (bukan Hollywood atau Bollywood) hanya boleh dipupuk dan dibina menerusi pendidikan yang berterusan pada pelbagai tahap dan peringkat. Ini termasuklah pendidikan awal (di peringkat sekolah) hinggalah ke peringkat tinggi (di kolej dan universiti).Malangnya, sistem pendidikan kita sudah berapa dekad mengabai dan meminggirkan seni dan ilmu kemanusiaan. Apatah lagi misi dan falsafah pendidikan yang sering difahami secara sempit yang hanya menekankan aspek pembangunan secara ekonomi dan pasaran kerja sahaja. Cinta akan sinema itu tidak akan tercipta di dalam vakum yang mana ia sentiasa berkait rapat dengan cintakan seni secara umumnya (atau bentuk seni tertentu) serta diiringi budaya keilmuan seperti membaca, menelaah dan menulis. Secara estetiknya, sinema adalah medium yang terdiri daripada pelbagai cabang dan bentuk seni lain daripada seni persembahan, seni bina hinggalah kesusasteraan. Secara pengisiannya, sinema adalah naratif yang melayarkan masyarakat, kehidupan dan budayanya.

Pada pengamatan saya, ramai pihak kurang berminat dan merasa pesimistik terhadap pendidikan sebagai katalis yang dapat merubah citarasa, tabiat dan pemikiran penonton terhadap sinema. Ada para produser dan pengarah filem yang cuba untuk ‘mendidik’ khalayak dengan menawarkan karya-karya yang sedikit berbeza daripada kebiasaan dari segi pendekatan dan pengisian. Bagaimanapun, apabila khalayak tidak mengendahkan karya-karya ini, mereka pula yang melatah dan menyalahkan khalayak. Pendidikan yang dimaksudkan tadi adalah pendekatan pendidikan yang bersifat top-down yang perlu bermula pada peringkat awal lagi (seperti di sekolah).

Sepatutnya, kita semua sudah sedia maklum dan menyedari tentang keterbatasan cita rasa, pilihan dan tahap apresiasi khalayak Malaysia secara umumnya. Lihat sahaja resepsi dan konsumsi filem-filem luar yang ditayangkan di Malaysia. Filem-filem Iran umpamanya yang ditayangkan di ruang International Screen di Golden Screen Cinemas (GSC) tidak disambut dengan baik. Ada kalanya ruang tayangan ketandusan khalayak. Begitu juga dengan acara-acara festival filem di GSC (yang menayangkan filem-filem dari Jepun hingga ke Eropah) dan tayangan kecil-kecilan seperti di Kelab Seni Filem Malaysia, Kuala Lumpur, majoriti khalayaknya adalah dalam kalangan ekspatriat dan pelajar antarabangsa yang berada di Kuala Lumpur. Khalayak tempatan jika ada hanyalah kecil bilangannya.

Khalayak adalah kuasa yang menentukan dan cerminan terhadap filem-filem keluaran sesebuah negara itu. Justeru, usaha membina khalayak ini perlu dijayakan oleh pelbagai pihak pada beberapa peringkat. Langkah awal adalah memupuk minat masyarakat terhadap seni dan sastera sebelum menyemai cinta terhadap filem serta mendidik mereka mengapresiasi dan meraikan pelbagai bentuk, pendekatan dan pengisian filem. Lantaran itu, saya percaya yang pendidikan sajalah sama ada secara langsung atau tidak yang dapat mampu membantu membina khalayak filem di Malaysia. Usaha khusus ini juga merupakan sebahagian daripada usaha membangunkan masyarakat secara umumnya.