Enggan melayan gosip murahan, Khai Bahar mahu fokus kerjaya dan
Enggan melayan gosip murahan, Khai Bahar mahu fokus kerjaya dan

Orang terkenal tidak mampu lari daripada cerita ‘panas’ tentang diri mereka sendiri. Biar sedikit, pasti terpalit satu atau dua kisah sensasi kerana mereka dikenali masyarakat.

Penyanyi yang sedang meningkat naik, Khai Bahar, 23, menganggap kontroversi sebagai resam kehidupan artis. Sering menjadi mangsa sejak penglibatan awal dalam industri, dia akui sudah lali dan enggan melayan sebarang cerita negatif.

“Cerita negatif tidak lagi memberi kesan kerana hati saya sudah tawar. Saya kini membiarkan sahaja gosip murahan atau kontroversi datang dan berlalu begitu sahaja.

“Ibu bapa saya faham tentang asam garam dunia artis dan menasihatkan saya agar tidak mempedulikan (fitnah). Selain mereka, peminat juga banyak memberi semangat dan menjadi kekuatan untuk saya,” katanya yang ditemui S2 pada majlis pelancaran produk Aloeshafy di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kecekalan anak jati Perlis ini bagai terbalas dengan rezeki dan penganugerahan. Sebagai Artis Paling Popular Anugerah Planet Muzik 2017, dia sedar penglibatan dalam industri bukan sia-sia.

Khai akui kejayaan dikecapi adalah berkat doa ibu bapa dan peminat. Dia juga sedar sokongan insan penting dalam hidupnya telah menjadikannya siapa dia pada hari ini.

“Kemenangan (anugerah) bukan bererti saya superstar. Ia adalah satu permulaan dan insya-Allah, saya akan teruskan usaha untuk buat yang lebih baik.

“Apa pun..., terima kasih buat semua peminat. Walaupun saya dilanda pelbagai kontroversi, mereka tetap setia memberi sokongan,” ujarnya.

Rezeki terkini anak muda ini adalah dia telah diberi kepercayaan untuk menyanyikan lagu tema filem Indonesia, Haji Kecil. Jelas Khai, lagu tersebut telah siap dirakam dan dijangka menemui pendengar pada Ramadan ini.

“Saya tidak sangka akan menerima peluang sebegini kerana untuk menembusi pasaran Indonesia, bukan sesuatu yang mudah.

“Oleh itu, saya harap penglibatan ini akan menjadi satu permulaan karier di sana,” tambahnya.