Hasil daripada pengumpulan dana tersebut akan disalurkan untuk pembangunan fizikal sekolah berkenaan dan sebahagian sumbangan lagi akan disalurkan kepada rakyat Syria yang menderita menerusi Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Syria Care.

Persembahan SMART Humanity Night tersebut akan diadakan di Anjung Bestari SMK Taman Keramat, bermula pada pukul 8 malam, 28 Julai ini. Selain Rabbani dan Khai, persembahan itu turut diserikan dengan penampilan Pencetus Ummah Musim ketiga, Helmi atau Mohammad Azhar Hilmi Mohamad Fadzil dan pelakon Mak Cun, Jay Nazif.

Menurut Azadan Abdul Aziz, salah seorang anggota Rabbani dan juga ikon Syria Care, program berkenaan diadakan untuk mengumpul dana bagi membantu rakyat Syria dan penambahbaikan beberapa bahagian di sekolah berkenaan, selain menghibur orang ramai.

“Antara objektif penganjuran program itu selain sumbangan kepada rakyat Syria ialah untuk penambahbaikan fizikal sekolah terutama Pusat Sumber, Musollah Murid dan Guru, pemulihan Dewan Amal untuk aktiviti kurikulum dan kokurikulum murid.

“Suasana persekitaran pembelajaran yang kondusif dapat menimbulkan minat murid untuk hadir ke sekolah seterusnya mencipta kecemerlangan dalam pembangunan modal insan yang berguna kepada generasi hari ini. Sumbangan orang ramai boleh disalurkan menerusi pembelian meja untuk menyaksikan persembahan pada malam itu,” katanya kepada Utusan Online.

Tambahnya, tiket-tiket yang berharga RM100, RM200, RM300 dan RM500 boleh dibeli dengan menghubungi Rohana Megat di talian 0136503244. Bagi yang ingin menyumbang dana boleh dimasukkan terus ke dalam akaun PIBG SMK Taman Keramat (Maybank 012183101690). - UTUSAN ONLINE.