Selama 15 tahun membawa elemen itu, pemilik nama Hiresh Harids, 42, itu sama sekali tidak berpaling arah untuk mencuba genre lain biar arah muzik itu sedang melonjak naik saat ini.

Lebih mementingkan keselesaan dalam setiap persembahan, Reshmonu mengejar kepuasan serta keikhlasan dalam mengalunkan karya seninya.

Pun begitu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Hey Waley ini sentiasa berfikiran terbuka dengan perubahan muzik arus perdana dan dia berkongsi pemikirannya dengan Mega HITS ketika pertemuan pada sidang media Freedom Festival baru-baru ini.

MEGA HITS: Dulu nama Reshmonu tidak asing dari radar seni, namun kebelakangan ini graf itu kelihatan menurun hinggakan ada yang mengatakan anda sudah tidak aktif lagi dalam bidang muzik. Komen?

RESHMONU: Saya masih lagi menerima tawaran membuat persembahan cuma mungkin saya agak jarang muncul di televisyen atau media massa. Jiwa saya masih dalam bidang ini. Menyanyi sudah sebati dalam diri dan tetap memilih karier ini untuk kelangsungan hidup.

Jadi apa perkembangan terkini kerjaya seni anda?

Sebenarnya saya merancang untuk memasarkan album baharu pada tahun ini, tetapi terpaksa ditangguhkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya umum lalu. Bagaimanapun rencana itu tertangguh sehingga berbulan-bulan dan masih belum ada tarikh yang diputuskan buat masa ini.

Saya jangkakan tahun hadapan album keenam ini akan menemui pendengar.

Boleh kongsikan tentang pembikinan album baharu ini?

Saya pernah bekerjasama dengan penerbit dari Amerika Syarikat untuk album sebelum ini, tetapi untuk album mini kali ini saya memilih untuk menghasilkannya sendiri.

Memuatkan enam buah lagu baharu, album mini ini sudah siap sepenuhnya. Tetapi selepas melihat trend masa kini yang lebih cenderung memperkenal single terlebih dahulu saya mungkin memikirkan faktor ini.

Malah jika ada yang mengikuti perkembangan muzik saya, lagu-lagu Reshmonu tidak ada dalam platform digital. Ini membuatkan saya terfikir untuk menghasilkan sebuah kompilasi album-album lama untuk diperdengar kepada peminat.

Mengenai kehadiran artis muda sebagai pelapis baharu, apakah penglibatan mereka memberi cabaran dan persaingan untuk anda memastikan kekal relevan?

Saya tidak berdepan dengan cabaran yang boleh dibimbangkan. Berdasarkan pemerhatian, sebagai contoh penulisan lirik buat penyanyi sekarang lebih ringkas dan mudah diikuti pengikut muzik tempatan.

Malah elemen bunyi-bunyian dalam lagu pun sudah ada sedikit suntikan berbeza dan diberi nafas segar agar enak didengar. Pendapat saya, keunikanlah yang akan memberi kelainan dalam kualiti sekali gus memastikan kita masih relevan dalam industri.

Irama etnik tetap menebal dalam diri saya walaupun terpaksa bersaing dengan aliran muzik baharu. Saya tidak akan mengubah genre muzik hanya semata-mata mahu mengikut selera orang.

Dahulu tampil dengan imej berambut panjang cornrow tetapi kini anda memilih untuk berambut pendek dan kemas. Mengapa?

Saya sudah meningkat usia 42 tahun dan sudah ada tiga orang anak. Sudah tiba masanya untuk saya mengubah imej sesuai dengan kematangan diri. Selama 20 tahun saya ‘bela’ rambut panjang dan setelah itu menukar gaya cornrow selama sedekad. Rasanya sudah cukuplah saya dengan gaya rambut itu.

Idea nak tukar rambut pendek ini pun terlintas dalam sekelip mata sewaktu mahu tampil dengan album baharu. Saya nakkan album yang membezakan Reshmonu dulu dan sekarang.

Lagipun saya tidak rasa ralat. Cukuplah sekali merasa rambut panjang. Sekarang pada usia 40-an ini, saya lebih suka ke gimnasium untuk mendapatkan stamina. Terasa lebih segar dan muda.

Untuk Festival Freedom yang bakal berlangsung pada 3 November ini, apa yang boleh dikongsikan dengan penglibatan anda?

Masa yang diberikan untuk saya membuat persembahan ialah selama setengah jam. Festival ini sebenarnya mahu memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat, jadi inilah masa yang sesuai untuk pengunjung memeriahkan suasana.

Pelbagai acara yang disediakan selama seharian mulai pukul 10 pagi hingga lewat malam yang akan diadakan di Bandar Malaysia Kuala Lumpur di Jalan Lapangan Terbang Lama, Kuala Lumpur.

Lebih mengujakan, selain saya, kugiran Masdo, Hujan dan Datuk Zainal Abidin serta beberapa band lain turut sama turun padang untuk menghiburkan pengunjung.