Menurut Dr. Rosdeen Suboh, terdapat lima jenis seni persembahan teater tradisional Melayu iaitu makyong, bangsawan, mek mulung, randai dan jikey. “Kesemuanya berkongsi elemen yang hampir sama, dengan adunan tarian, nyanyian, dan lakonan menurut struktur tertentu. Setiap jenis seni persembahan itu juga mempunyai fungsi dan nilai tertentu di dalam masyarakat Melayu, dan tidak terhad untuk tujuan hiburan semata-mata,” kata pensyarah di Jabatan Tari, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya (UM) ini lagi.

Baru-baru ini, di bawah pengarahan Dr. Rosdeen, sebuah persembahan jikey bertajuk Puteri Bunga Bakawali telah diadakan di Panggung Eksperimen, UM. “Tidak dapat dinafikan, terdapat persamaan jika dilihat secara kasar antara persembahan makyong, mek mulung dan jikey, terutamanya dari aspek adunan lagu, tarian dan lakonan. Namun, keunikannya tetap ada, terutamanya dari penggunaan konsep panggung tradisional berbentuk semi-arena yang bersifat terbuka dan interaktif, serta tontonan tradisional yang membenarkan penonton bergerak semasa pementasan, termasuk makan dan minum. Keunikan inilah yang menjadikannya sebuah elemen kebudayaan Melayu yang seharusnya dipelihara demi kelangsungannya pada masa hadapan,” kata Dr. Rosdeen.

Selain pendedahan kepada masyarakat mengenai jikey, pementasan Puteri Bunga Bakawali itu juga bertindak sebagai platform kepada mahasiswa jurusan tari dan drama Pusat Kebudayaan UM untuk menimba pengalaman profesional dalam sesebuah produksi teater tradisional.

“Uniknya, keperluan pementasan teater tradisional tidak terhad kepada kehendak fizikal semata-mata. Teater tradisional melibatkan peranan pakar teater tradisional yang dijemput khas bagi melatih penjiwaan watak, selain memberi nasihat secara am kepada pasukan produksi. Ini bakal memberi nilai tambah kepada proses pengajaran dan pembelajaran kepada pelajar terlibat,” tambahnya.

Pementasan yang melibatkan lebih 30 individu ini merupakan kesinambungan program tahunan mahasiswa dan pensyarah Pusat Kebudayaan UM sejak 2014. Program itu telah mementaskan pelbagai jenis teater tradisional dari dalam dan luar negara.

“Setakat ini, kami telah mementaskan bangsawan, drama tari makyung Riau yang berasal dari Sumatera, mek mulung yang berasal dari Kedah, dan ‘likay pa’ yang berasal dari Thailand.

“Program yang dilaksanakan menerusi aktiviti kumpulan yang kami namai ‘Sri Malaya’ ini diharap kekal dan diteruskan pada masa hadapan, dan menjadikan Pusat Kebudayaan UM sebagai hab teater tradisional serantau,” kata Dr. Rosdeen.

Menurut kajian yang dilakukan oleh beliau, jikey dikatakan mempunyai persamaan dengan teater tradisional yang dipersembahkan di selatan Thailand (dikenali sebagai likey) dan Kemboja (dikenali sebagai yike), terutamanya dari sudut watak-watak khusus dan struktur pementasan.

“Versi jikey di Langkawi dan beberapa kawasan utara Semenanjung Malaysia adalah mengenai kisah yang dibawa oleh watak saudagar berbangsa Farsi dari India yang menetap di Tanah Melayu.

Kisah yang dibawa adalah pelbagai, dan selalunya berkisar kehidupan istana dan alam kayangan yang penuh dengan elemen pengajaran.

“Saya olah Puteri Bunga Bakawali dengan mengambil kira elemen-elemen ini, bagi mengekalkan keaslian pementasan jikey yang pernah popular sekitar tahun 1960-an,” katanya.

Puteri Bunga Bakawali mengisahkan pengembaraan dan cabaran seorang putera raja yang ingin mendapatkan bunga bakawali di kayangan bagi mengubat penyakit ayahandanya.

Elemen-elemen percintaan, pertelingkahan adik-beradik, dan pertempuran dengan watak-watak magis telah dibawakan dengan baik oleh kesemua tenaga produksi.

Pementasan yang berdurasi dua jam itu turut diselangi nyanyian dan tarian, dengan muzik latar yang dimainkan secara langsung oleh pemuzik yang turut berada di pentas bersama penonton.

“Saya harap pementasan jikey ini bakal menjadi pencetus kepada usaha pemeliharaan teater tradisional di Malaysia.

Dengan sokongan semua pihak, terutamanya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), saya percaya pementasan teater tradisional sebegini mampu dinilai dengan lebih baik oleh masyarakat.

Ia tidak seharusnya dilihat sebagai hiburan semata-mata, dan tenggelam di dalam arus kemodenan,” katanya.

Menariknya, pementasan ini turut melibatkan mahasiswa bukan Melayu yang bertanggungjawab menguruskan pelbagai aspek produksi.

Danesh Raj Nagarajan, pelajar sarjana di Akademi Pengajian Melayu UM yang memegang watak inang kepada puteri kayangan berkata, beliau bersyukur kerana diberi peluang menjayakan watak inang yang sangat mencabar.

“Bukan setakat berlakon, watak ini memerlukan saya menari dan menyanyi. Unsur komedi juga diletakkan di bahu saya bagi menghidupkan pementasan,” katanya.

Sementara itu, mahasiswa tahun akhir jurusan drama, Pusat Kebudayaan UM, Leelhani Yuneska Abd. Karim berkata, beliau teruja diberi peluang menjayakan pementasan jikey itu.

“Ini merupakan ruang yang sangat kondusif untuk saya menghayati dan menerokai khazanah kreatif teater tradisional.

“Saya kini lebih memahami struktur dan elemen persembahan teater tradisional, dan secara tidak langsung menjadikan saya lebih berdisiplin ketika melibatkan diri dalam gerak kerja pengurusan organisasi,” katanya.