Sebaliknya, anak kelahiran Klang, Selangor itu berpendapat, kejayaan dan populariti yang telah diraih Haqiem memotivasikan dirinya untuk bersaing secara sihat dalam melakar nama sebagai seorang penyanyi berbakat besar, sekali gus disegani ramai.

“Kemaraan Haqiem menerusi dua buah lagu secara serentak di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 adalah satu penanda aras terbaik yang berjaya dilakukan oleh penyanyi semuda umurnya.

“Apatah lagi, keupayaannya menghuni tangga tiga teratas dalam pertandingan lagu paling berprestij di Malaysia itu membuka mata banyak pihak yang selama ini memandang sebelah mata kredibiliti penyanyi baharu dan muda,” katanya melemparkan pujian.

Menurut pemilik nama penuh Wan Shahjuddin Wan Abd. Wahab itu, pencapaian yang diperoleh Haqiem menjadi sumber inspirasi bukan sahaja buat dirinya, malah kepada ramai lagi remaja di luar sana yang bercita-cita bergelar penyanyi ternama.

Tampil mempertaruhkan single solo pertamanya berjudul Apa-Apa hasil nukilan Omar K, Ikhwan Fatanna dan Shazee Ishak, karya bergenre pop moden dengan sedikit alunan muzik disko diyakini menawarkan sesuatu nuansa segar dan baharu berbanding lagu sedia ada.

“Saya suka menyanyi dan pada masa yang sama gemar menari mengikut melodi lagu yang diperdengarkan. Sebab itu genre ini jadi pilihan kerana dilihat sesuai dengan personaliti saya,’ ujarnya.

Pada 2014, selain Wan, kuartet Novemboyz yang menghimpunkan empat remaja tersebut turut dianggotai Haqiem, Adam dan Danial demi menyahut cabaran mengungguli pertandingan nyanyian berkumpulan itu.

Tambah Wan, hubungan antara kesemua bekas ahli kumpulan masih baik dan saling bertanya khabar sama ada melalui media sosial atau aplikasi sembang di telefon pintar meskipun membawa haluan masing-masing.

“Kini, apabila menyanyi semula, saya ada berborak dengan Haqiem untuk mendapatkan nasihatnya dan dia tidak lokek berkongsi pendapat,” jelas Wan sambil memberitahu bahawa pesona muzik taruhannya dipengaruhi Michael Jackson, Justin Timberlake dan Usher. – UTUSAN ONLINE