Ternyata, keputusan kumpulan yang pernah merangkul trofi Artis Harapan pada Anugerah Industri Muzik ke-10 ini untuk muncul kembali beraksi di pentas hiburan tidak salah.

Namun kejayaan yang dikecapi ini tidak pernah melalaikan mereka, sebaliknya turut diiringi dengan tekanan yang menggunung. Cat Farish mewakili rakan-rakan lain (Azan, Mode, Amir, Zain dan Sein) mengakui, situasi tersebut sememangnya menyeronokkan.

Tidak memandang dari sudut negatif sebaliknya mereka mengambil tekanan itu sebagai pencetus semangat untuk terus kekal dalam industri dan tampil terbaik buat peminat yang selama ini tidak jemu-jemu menghadiahkan sokongan.

“Melihat sambutan yang di luar jangkaan pada konsert baru-baru ini sebenarnya sudah cukup memberikan tekanan buat kami. Tetapi bukan tekanan negatif sebaliknya menyuntik semangat dalam diri masing-masing untuk menghasilkan karya terbaik buat peminat.

“Untuk terus kekal dalam industri ini, bukan sepenuhnya kerja kami. Buat masa ini kami hanya mampu bekerja keras dan berusaha sebaik mungkin. Selebihnya, hanya Tuhan yang berkuasa untuk mengekalkan kami terus berada di sini,” jelasnya.

Kejayaan dan sambutan luar biasa kemunculan semula Ruffedge bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada mereka, malah turut mencetuskan inspirasi kepada kumpulan muzik lain untuk melakukan perkara yang sama.

Menurut Azan, dia dapat tahu ada beberapa kumpulan lain yang turut merancang untuk membuat kemunculan semula. Baginya, itu satu situasi yang sangat positif dan menggembirakan.

“Saya dan rakan-rakan dalam Ruffedge sangat bersyukur dengan yang kami lalui sejak beberapa bulan lalu. Siapa sangka, perancangan kami untuk mengubat kerinduan peminat berjalan lancar.

“Situasi ini secara tidak langsung memberi semangat kepada rakan-rakan pemuzik lain untuk melakukan perkara yang sama. Setakat ini, yang saya tahu, ramai juga rakan kami yang sedang merancang untuk membuat kemunculan semula.

“Terkini, sahabat kami kumpulan Flop Poppy membuat kemunculan semula dan mereka telah berjaya mengadakan konsert mini baru-baru ini dan mendapat sambutan hangat daripada peminat mereka yang sudah lama merindu.

“Salah satu inspirasi mereka untuk kembali beraksi ialah dengan melihat kemunculan kami. Dengan kejayaan Ruffedge dan Flop Poppy ini, saya sangat berharap agar lebih ramai pemuzik lama yang kuatkan semangat untuk muncul kembali,” ujarnya.

Lebih sedekad menyepi, Ruffedge akui kemunculan mereka kini perlu berdepan banyak saingan baharu dalam industri muzik yang semakin berkembang maju terutama dari segi teknologi.

Namun Zain menjelaskan, soal saingan tidak membebankan mereka kerana yakin setiap penyanyi yang muncul mempunyai identiti dan tarikan yang berbeza. Begitu juga saingan antara orang lama dengan orang baharu.

“Kami tidak memandang itu sebagai satu saingan yang membebankan kerana bagi kami setiap penyanyi mempunyai kelebihan masing-masing serta aura mereka tersendiri.

“Kemunculan ramai penyanyi baharu dalam industri muzik kita sekarang sememangnya membanggakan. Majoriti daripada mereka mempunyai bakat yang besar yang boleh diketengahkan sama ada dalam pasaran muzik tempatan serta antarabangsa.

“Apatah lagi dengan perkembangan teknologi terkini membuka lebih peluang kepada anak-anak muda untuk menyertai industri. Variasi platform digital dalam memasarkan muzik memudahkan mereka untuk menggapai cita-cita untuk menjadi penyanyi,” jelasnya.

Dengar luahan peminat

MEMBUKA kisah di sebalik penganjuran konsert di Singapura yang hanya berselang dua bulan daripada konsert di Kuala Lumpur (KL), Ruffedge mempunyai alasan yang sangat kukuh mengenainya.

Menurut Zain, sebelum terlaksananya konsert di KL, mereka kerap menerima luahan peminat di Singapura yang menyatakan kekecewaan kerana tidak dapat menyertai konsert tersebut.

Tidak mahu mengabaikan luahan rasa peminat yang setia menyokong, Ruffedge tidak teragak-agak untuk memberikan penghargaan buat mereka. Justeru, sebuah persembahan diatur menjadi buah tangan terbaik mereka untuk peminat di seberang tambak.

“Ketika kami promosikan konsert di KL, kami banyak menerima khabar daripada peminat di sana. Mereka menyatakan bahawa mereka tidak dapat datang. Salah satu sebab ialah tiket konsert sudah habis dijual dan ada juga disebabkan kesukaran untuk datang ke KL.

“Oleh itu, kami berbincang dan mengambil keputusan untuk pergi kepada mereka di sana. Jadi, buat semua peminat kami di sana, silalah sambut kami nanti. Inilah tanda penghargaan yang mampu kami lakukan,” ujarnya.

Ruffedge bakal mengadakan persembahan di [email protected] Singapura pada 6 Oktober bagi meraikan peminat serta ulang tahun ke-20 kumpulan berkenaan dalam industri seni tempatan.

Selain konsert, Azan berkata, Ruffedge turut merancang untuk menghasilkan album baharu. Ternyata, niat kemunculan semula bukan sekadar untuk mengimbau kenangan lama dengan lagu-lagu terdahulu malah mereka juga mahu mencipta kenangan baharu bersama-sama peminat.

“Sememangnya kami mempunyai keinginan untuk menghasilkan sebuah album penuh, tetapi semuanya masih dalam perancangan. Tetapi buat masa sekarang, baru empat buah lagu yang telah siap dirakam.

“Pada masa terdekat ini, kami hanya ingin memberi fokus kepada single baharu bertajuk Seperti Mereka yang masih dalam rangka promosi,” akhirinya.