Pernah tampil menerusi single Radio berkolaborasi dengan Imran Ajmain dan Nabil Ahmad pada 2009, aktres Diana Danielle tidak serik untuk terus serius memahat nama sebagai salah seorang penyanyi di negara ini.

Terkini, dia muncul dengan single baharu berjudul Tentang Kita, hasil ciptaan komposer DJ Fuzz manakala lirik ditulis oleh Alabbas dan Muariffah.

Berbicara lanjut, percubaan pertamanya bergelar penyanyi suatu ketika dahulu dianggap kurang berjaya kerana sejak single Radio dikeluarkan, Diana tidak pernah mendapat undangan mengadakan persembahan.

“Meskipun lagu itu kerap dimainkan di corong-corong radio, jujur saya kata tidak ada langsung tawaran daripada mana-mana pihak untuk menjayakan persembahan.

“Jadi saya anggap, khalayak tidak melihat saya serius dalam bidang seni suara apatah lagi lagu berkenaan menampilkan Imran yang cukup dikenali ketika itu sebagai salah seorang penyanyi solo di sini.

“Bukan itu sahaja, populariti Nabil juga berada pada kemuncaknya, sekali gus kewujudan saya menerusi kolaborasi tersebut seolah-olah seperti tiada.

“Namun saya tetap bersyukur kerana masih ada peminat yang mengingati saya sebagai penyanyi lagu berkenaan,” katanya yang menyimpan hasrat bergelar penyanyi sejak kecil lagi.

Bahkan kata Diana, pembabitannya dalam pembikinan beberapa buah lagu tema filem lakonannya juga seperti tidak diambil peduli walaupun lagu tersebut mendapat sambutan.

“Misalnya menerusi lagu Penyembuh Rindu yang merupakan lagu tema filem Magika duet dengan Mawi. Umum berpendapat, saya menyanyi kerana hobi,” ujarnya.

Justeru, tiba masanya Diana mengatur semula strategi yang lebih tersusun supaya dia berjaya mencapai cita-citanya menjadi penyanyi.

Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Diana diperkenal dengan Pengurus Besar Warner Music Malaysia, Darren Choy yang secara tidak langsung membuka peluang lebih luas untuknya melakar nama dalam nyanyian.

“Saya kenal Darren daripada pereka fesyen terkenal, Melinda Ooi. Oleh sebab kurang arif cara untuk mengendalikan pemasaran dan pengedaran lagu, saya ada bertanya tentang kos yang diperlukan.

“Tidak sangka daripada sebuah pertanyaan biasa, membuka ruang lain yang lebih besar apabila Warner Music sudi menjalin kerjasama untuk memasarkan lagu ini,” cerita Diana seraya tersenyum ceria.

Bukan itu sahaja, rezeki Diana semakin melimpah-ruah apabila dia bakal berduet dengan seorang penyanyi antarabangsa tidak lama lagi.

Bersara umur 45 tahun 

Sejak kecil, Diana sudah diasuh dan dididik untuk berdikari dalam meneruskan kelangsungan hidup. Dan dia juga terbiasa melakukan pelbagai tugas pada satu-satu masa.

“Sebab itulah saya tak kisah melakukan macam-macam kerja sekarang ini. Selain berlakon, menyanyi dan menjadi duta, pada masa yang sama sayalah yang menguruskan perniagaan kafe.

“Semua ini saya lakukan kerana mahu bersara awal. Biar bersusah-susah dahulu untuk kesenangan masa depan. Saya mengehadkan sehingga umur 45 tahun untuk bergerak aktif dalam dunia hiburan.

“Selepas itu, mungkin tiba masanya untuk saya berehat, fokus kepada perniagaan. Tetapi tidak bermaksud saya berhenti terus.

“Mana tahu ada kerja-kerja balik tabir yang boleh saya lakukan untuk kekal berada dalam arus industri Malaysia,” katanya berkongsi perancangan yang telah disusun rapi.

Malah hasratnya itu disambut baik oleh suami, Farid Kamil yang juga sependapat dengannya. Masing-masing ada haluan sendiri yang ingin ditumpukan untuk tempoh sedekad akan datang.

Jika Diana memilih bidang kecantikan dan kesihatan, Farid pula lebih ke arah hartanah.

Berkongsi perkembangan terkini, Diana yang sekian lama tidak membintangi drama tempatan bakal muncul menerusi siri drama Raisha untuk siaran TV3 di samping sebuah lagi produksi iaitu Di Sebalik Wajah bergandingan dengan Aliff Aziz di saluran HyppSensasi untuk HyppTV.