Berjaya memecah panggung dengan kutipan RM15.3 juta di layar perak, pastinya karya yang mencipta fenomena itu memberi seribu satu jangkaan sama ada mampu memercik sinar kegemilangan serupa di pentas teater.

Menjadi naskhah pembuka tirai bagi 2018 di pentas berprestij, Panggung Sari, Istana Budaya bawah arahan Puan Seri Tiara Jacquelina, ternyata OlaBola The Musical selayaknya digelar antara pementasan teater terbaik negara.

Menariknya, hanya dua pelakon filem itu yang dibawa ke pentas teater menjadikan ini satu tugas yang sangat mencabar bagi Tiara untuk mengemudi pementasan itu.

Membuka pentas secara monolog oleh pelakon berbakat besar, Iedil Putra bergerak sebagai ‘penglipur lara’ yang memberi nadi kepada keseluruhan pementasan naskhah paling mahal pernah dipentaskan Istana Budaya.

Kemunculannya mendapat sorakan dan tepukan gemuruh penonton yang memenuhi 
setiap ruang panggung. Dengan hanya berbekal radio antik dan sebuah kerusi, Iedil tampil cukup gah.

Begitu juga Brian Chan yang menggalas watak sebagai Tauke kerana Brian bukanlah budak hingusan dalam dunia teater, tidak hairan dia cukup berkaliber melaksanakan watak itu.

Baik dari segi penyampaian emosi, setiap plot dan draf watak disampaikan dengan cukup baik malah suaranya ketika menyanyi juga tidak mengecewakan audiens.

Sebagai ketua pasukan, pastinya watak Tauke tidak harus dilakonkan acuh tak acuh. Berdepan dengan masalah keluarga dan pergolakan jiwa, Brian berjaya meyakinkan penonton dengan kawalan emosi dan lakonan cukup dinamik.

Sekalung tahniah seharusnya diberikan kepada Luqman Hafidz yang membawakan watak Ali. Sebagai pemain bola sepak berego tinggi, sama seperti dalam filem, Luqman berjaya membawa watak itu dengan cara tersendiri.

Sejujurnya, baik dalam filem atau di pentas teater, mungkin tiada pelakon lain yang boleh membawa watak Ali sebaik Luqman. Pemahaman dan pengalamannya dalam filem diterjemahkan dengan indah di pentas berprestij itu.

Bahkan, kemunculan Altimet sebagai Sarjan Ahmad, Stephen Rahman Hughes sebagai Coach Harry Mountain, Douglas Lim sebagai Uncle Wong dan Abi Manyu sebagai Spiderman Muthu menjadikan naskhah ini sehebat filemnya.

Skor muzik yang disusun dan dicipta dengan sempurna oleh Mia Pelencia dan lirik bersama Altimet amat menghiburkan. Pengaruh elemen hip hop yang cukup kuat ditambah dengan suntikan elemen tradisional Melayu, India dan Cina amat menakjubkan, sungguh harmoni, bersesuaian dengan tema perpaduan.

Selain elemen muzik dan tarian yang dipersembah, pastinya konflik yang berlaku sepanjang pementasan lebih dua jam itu mengunci mata dan gerak penonton supaya tidak berganjak walau sesaat.

Plot yang disusun cantik di samping bantuan props dan kesan visual yang canggih membuatkan penonton tergamam dan terpaku menyaksikan sejarah pementasan teater dicipta.

Pastinya insan yang selayaknya mendapat tepukan paling gemuruh adalah Tiara. Pertama kali sebagai pengarah teater tidak dijadikan alasan untuknya mengambil karya ini dengan sikap sambil lewa.

Paling menarik perhatian dan mengujakan adalah aksi permainan bola sepak yang dipentaskan dengan cukup hebat. Tiada siapa dapat membayangkan bagaimana permainan bola sepak dengan 11 pemain dan padang besar boleh dipentaskan dalam ruang terhad.

Pendek kata, keseluruhan tenaga kerja bawah produksi Enfiniti sangat kreatif. Ada saja kreativiti yang dipersembah, sekali gus mencipta sejarah tersendiri.

Dengan kepakaran lebih 200 kru termasuk 74 pelakon, pastinya bukan satu kerja 
yang mudah. Namun kehebatan Tiara selaku nakhoda jelas terbukti apabila rata-rata penonton menzahirkan kepuasan masing-masing usai persembahan.

Syabas kepada seluruh produksi yang berjaya mementaskan sebuah karya epik menjadi teater pertama yang dipentaskan paling lama, bermula 8 Februari sehingga 11 Mac.

Secara tidak langsung, OlaBola The Musical adalah antara tanda aras baharu kepada industri teater tempatan. – ALIF FADLI 
MOHD. SORI