Pernah popular menerusi dua single terawal mereka iaitu Sesal Mendua dan Tak Mahu Dusta-Dusta, Klangit mengakui ‘insiden’ yang berlaku ketika penganjuran anugerah berprestij itu memberi impak negatif terhadap mereka.


Pengasas dan pemain gitarnya, Ewan atau nama sebenar Mohd. Izwan Ahmad Mahayuddin memberitahu, kerjaya seni yang dibina sejak 2008 ternyata terumbang-ambing lantas membuatkan ahli lain membawa haluan masing-masing.


“Kini, Klangit dianggotai oleh ahli baharu iaitu Emy selaku vokalis dan Sam yang juga bermain gitar bagi menggantikan Ary dan Haris yang mencuba nasib sebagai penyanyi solo. Malah, ejaan nama kumpulan juga diubah menjadi Kelangit.


“Bersama-sama anggota baharu, Kelangit cuba bangkit kembali menguruskan sendiri perjalanan karier kami. Ini satu cabaran buat saya kerana sebelum ini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia.


“Terkini, sebuah single berjudul Gelisah telah dihasilkan oleh Kelangit sendiri dan berharap dapat mewarnai semula persada muzik tanah air,” katanya.


Bertandang ke Studio Utusan baru-baru ini, Ewan menjelaskan, Emy yang berasal dari Gemas, Negeri Sembilan disedari bakatnya menerusi aplikasi Smule.


Tambah Ewan, perjuangan mereka mengetengahkan muzik pop diharap dapat diterima ramai oleh pendengar setia lagu tempatan.


Bukan itu sahaja, berkata kepada Utusan Online, dia juga meletak harapan tinggi agar lagu tersebut diberi peluang untuk diputarkan menerusi corong-corong radio swasta secara adil dan saksama.- UTUSAN ONLINE