Itu kunci semangat yang diterapkan dalam 100 ahli Kelab Permotoran Wings Malaysia yang diterajui oleh Datuk Ahmad Azhar Othman atau lebih dikenali dengan nama pentasnya, Awie.

Hari ini sempena dengan genapnya 465 hari usia kelab tersebut,  diadakan majlis pelancaran bertempat di Tadom Hill Resort, Bukit Tadom, di sini.

Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ahli Majlis Daerah Kuala Langat, Fazly Faizal Mohamed Razally.

Terdahulu dalam majlis sidang akhbar, Awie selaku Presiden Kelab Permotoran Wings Malaysia atau Wings Motor Club Society berkata, objektif penubuhan kelab ini adalah untuk membudayakan industri permotoran tanah air bagi generasi akan datang.

"Kelab permotoran kita mempunyai hala tuju iaitu mewarisi cara kelab kami di samping memartabatkan budaya Melayu," katanya.

Awie berkata, ahli kelab memakai akur dengan konsep memakai selempang merah dan dastar atau tengkolok.

Jelas Awie, pemakaian dastar adalah lambang kepada semangat Melayu dan tidak sama sekali bersifat perkauman.

"Buang jauh-jauh rasa negatif yang ada pada kaum lain kerana ini bukan ada kena mengena dengan rasisme.

"Inilah semangat Melayu dan ingatlah bahawa kita berpaksikan kepada majoriti dan ini adalah untuk hak diri kita," kata Awie sambil menolak elemen politik di dalam kelab permotoran tersebut.

Awie menambah, kelab permotoran ini menyasarkan untuk membuka rumah kelab selain daripada membuka kepada keahlian di Indonesia.

Setakat ini, ujar Awie, ahli-ahli kelab bukan sahaja dari Semenanjung tetapi juga Bumiputera dari Sabah dan Sarawak.

"Kelab ini telah melakukan penunggangan bermotor jelajah ke negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura dan Brunei.

"Apabila menyertai kelab, siapa sahaja boleh menunggang motosikal dengan disiplin dan bukan tampil sebagai penunggang motosikal yang poyo," katanya.

Kata Awie lagi, semestinya syarat utama untuk menjadi ahli adalah lesen menunggang motosikal yang sah.

Selebihnya, segala syarat keahlian ada tercatat didalam borang dan setiap permohonan akan disaring terlebih dahulu. Kapasiti jentera, kata Awie serendah 700 cc.  - UTUSAN ONLINE