Kalau tidak bergaduh, memutuskan hubungan itu sudah pasti. Tetapi berbeza pula dengan apa yang terjadi pada penyanyi Shiha Zikir.

Masih ada keberanian untuk bercerita sambil tertawa, Shiha mendedahkan bukan sekali dua

kekasihnya yang dikenali sebagai Arul cuba dihimpit orang lain dengan niat ‘merampas’ cintanya.

“Tetapi semua itu tak pernah menjadi. Sungguh saya tak bohong, memang ada sahaja yang berani cuba nasib mendekati walaupun tahu kami berdua adalah pasangan kekasih.

“Apa yang kami boleh buat? Cuma ketawa sahajalah tengok gelagat mereka itu,” katanya.

Mengaku dirinya tak pernah melenting memarahi Arul atau orang lain yang berbuat demikian, Shiha berpegang pada rasa percaya pada buah hati sepanjang 10 tahun bercinta.

Menurut Shiha, Arul juga sama sepertinya, meletakkan kepercayaan yang tinggi pada dirinya.

“Bagi saya dia lelaki yang sangat memahami. Kedengaran klise, tetapi perkataan itu sudah cukup

ARUL SHIHA ZIKIR
ARUL SHIHA ZIKIR 

bermakna buat saya.

“Dalam bidang ini, kalau seseorang pasangan itu tidak ada sifat memahami, mungkin saya susah nak bekerja,” tambahnya.


Jatuh maruah
Berkongsi lanjut, Shiha juga kagum dengan sifat kesabaran yang dimiliki Arul meski pernah disindir dan dihina oleh lelaki berstatus kenamaan (VIP) yang cuba menggoda dirinya.

“Dalam satu majlis, di depan muka saya lelaki berada dan berstatus itu berbuat begitu kepada Arul. Katanya, buat apa saya bersama dengan lelaki seperti Arul.

“Lebih baik kahwin dengan dia. Mujur dia sabar, tenang dan tidak melenting. Malah menawarkan diri untuk bantu lelaki berkenaan bergambar dengan saya.

“Terus-terang, golongan VIP seperti itu lebih rendah martabatnya pada mata saya. Mereka fikir dengan duit maka semua orang pun mampu digoda?” katanya.

Menganggap dia bukan wanita murahan, Shiha rela menjaga maruah dan nama baiknya daripada terjebak dengan mana-mana golongan VIP.

 

Katanya, meski ada yang cuba mengaburi matanya dengan status, harta kemewahan dan wang ringgit, semua itu tidak mudah menggoyahkan hatinya.


Kahwin
Dalam pada itu, Shiha apabila ditanya mengenai perancangan berkahwin juga lebih selesa untuk menyerahkan urusan itu pada Yang Maha Esa.

Sedar selama ini soalan yang sama kerap kali diajukan padanya, dia tiada jawapan terbaik mengapa hubungannya dengan Arul belum sampai lagi ke fasa perkahwinan.

“Saya tak nak cakap dah. Biarlah hal ini terjadi dengan takdir Allah SWT. Nak kahwin esok pun boleh, tapi saya dan dia masih ada perkara lagi yang belum selesai. Ada perkara yang perlu dikendalikan dan memerlukan fokus kami,” jelasnya.

Ditanya sama ada dia takut untuk melangkah ke alam rumah tangga, Shiha tidak menolak ada sedikit perasaan itu.

“Ada sahabat saya, bercinta selama 10 tahun lamanya, tetapi bila berkahwin dua bulan sahaja sudah bercerai. Mana tak takut?

“Pada saya, kalau satu hari nanti Arul bertemu jodoh dengan orang lain, saya tak marah sebab faham itu takdir walau sayang macam mana sekali pun. Begitu juga kalau ia terjadi pada saya. Urusan jodoh itu semua kehendak Dia,” katanya.