Pengetua program di Pusat Oxford untuk Kepemimpinan (The Oxford Centre For Leadership - Oxcel) itu menjelaskan, bidang pengacaraan yang diceburinya sejak sekian lama seolah-olah dilacurkan dengan kehadiran pengacara baharu yang tidak berwibawa.

Bertemu dengannya baru-baru ini, bekas pengacara Malaysia Hari Ini (MHI) itu kesal dengan sikap stesen televisyen tempatan seakan-akan terdesak dalam mencari rating apabila membuat keputusan untuk menggunakan khidmat artis sedia ada sebagai hos sesebuah program.

“Jika dulu, hos bagi setiap program dibentuk dan diberi bimbingan oleh pasukan produksi stesen televisyen itu sendiri sehingga menjadikan mereka (hos) seorang personaliti TV yang dikenali.

“Namun peranan tersebut semakin kurang dipraktikkan dan saya sendiri sukar memastikan punca berlakunya senario seperti ini,” katanya selepas majlis pelancaran Program Pembangunan Kepimpinan Belia (YLP) Oxcel baru-baru ini.

Menguruskan syarikat konsultan miliknya, Nizal.com Sdn. Bhd., beliau yang masih aktif dalam bidang pengacaraan menasihatkan agar setiap individu yang berpeluang mengacara sesebuah program TV harus bijak memanfaatkan platform yang telah diberikan.

Katanya, seseorang yang bergelar pengacara mesti sedar akan kekuatan dan keupayaan diri sendiri bukannya bersikap acuh tak acuh terhadap tanggungjawab yang diperoleh.

“Pendapat peribadi, saya dapat rasakan ada beberapa individu yang menerima tawaran sebagai pengacara sekadar memenuhi kehendak untuk mendapat ‘job’ tanpa ada rasa sebarang tanggungjawab.

“Asalkan ada kerja, mereka terima tawaran tersebut tanpa memikirkan impak yang bakal ditinggalkan kepada audiens.

“Sebab itulah kita sering lihat, hos bagi sesetengah rancangan pada kaca TV kerap bertukar ganti, tiada ketetapan. Secara tidak langsung, senario ini telah mencemarkan industri penyiaran tempatan,” katanya lagi.

Nizal yang juga berpengalaman mengendalikan program-program terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berkata, kemahiran pengacaraan perlukan bimbingan teliti tenaga pengajar yang berpengalaman luas dalam bidang berkaitan, bukan boleh hadir sekelip mata.

“Pengacara tidak boleh bergantung terhadap isi kandungan rancangan semata-mata, perlu ada karisma dan kredibiliti. Formula untuk menghasilkan sebuah rancangan berkualiti haruslah merangkumi kesemuanya, bukan populariti artis sahaja.

“Tidak semestinya artis popular mampu menaikkan rating sesebuah rancangan meskipun telah bertahun-tahun lamanya rancangan itu diterbitkan dan mempunyai pengikut sendiri.

“Paling penting, buatlah kaji selidik secara terperinci dengan penuh rasa amanah, jangan sia-siakan peluang yang ada,” ujar beliau.

Iktiraf golongan bijaksana

Dalam pada itu, berbicara lanjut mengenai tanggungjawabnya sebagai Pengetua Program YLP Oxcel, Nizal menjelaskan, beliau berperanan untuk membimbing golongan intelektual dalam mencorakkan masa depan.

Jelasnya, Oxcel merupakan sebuah institusi yang diasaskan oleh Prof. Datuk Dr. Azahari Othman atau lebih dikenali sebagai Dr. Love, seorang pakar motivasi yang pernah menjadi tenaga pengajar dalam program realiti Akademi Fantasia.

“Fungsi Oxcel ialah memberi pengiktirafan dalam bentuk penganugerahan sijil kepada golongan bijaksana menerusi pengkhususan masing-masing.

“Menerusi program yang kami jalankan, kami menilai dan mengiktiraf sesiapa sahaja yang mempunyai kepakaran terhadap pelbagai bidang tanpa mengira tahap pendidikan mereka. Penilaian dibuat berdasarkan pengalaman dan kemahiran mereka.

“Kadang-kadang, mempunyai kelulusan akademik pada tahap tertinggi juga tidak menjaminkan apa-apa. Sebaliknya, terdapat golongan tidak terpelajar mampu memperoleh pencapaian menakjubkan dalam hidup mereka,” kata beliau lagi.

Sebelum menganugerahkan mereka sijil, menurut Nizal, Oxcel yang bakal meluaskan jaringan ke serata dunia termasuk Indonesia, Kemboja, China dan Bahrain akan membuat beberapa saringan.

Katanya, penilaian dilakukan dengan melihat prestasi prospek dalam bidang kepimpinan dan pencapaian.

Antara individu yang menyertai program anjuran Oxcel ialah Adi Putra Abdul Ghani, 18, remaja yang pernah popular pada zaman kanak-kanaknya dek kecemerlangannya dalam mata pelajaran Matematik.

Kini, Adi Putra telah berjaya mengasaskan perniagaannya sendiri dalam bidang pendidikan yang dinamakan Adimatik Genius Solutions.