Itu yang terjadi kepada pelakon dan penyanyi Fazura. Apa sahaja yang berlaku kepada dirinya, ada sahaja mata yang memerhati dan memberi respon kurang senang.

Dalam masa yang sama, kritikan warganet ke atas dirinya juga seperti sengaja mahu membangkitkan kemarahan.

Namun, Fazura mengaku dirinya tidak mudah melatah malah lebih selesa membiarkan kata-kata nista warganet berlalu pergi begitu sahaja.

Malah, kehidupannya lebih bahagia bersama suami dan rezekinya pula bertambah murah, Barangkali ini adalah hikmah selepas kecaman yang kerap diterimanya selama ini.

Fazura menyifatkan kata-kata negarif warganet membuatkan dirinya terus maju dalam kerjaya.

Terbaharu, dia yang bakal melancarkan single terbaharu berjaya mendapatkan khidmat komposer dan penulis lirik antarabangsa iaitu Willy Beaman dan Cameron Forbes melalui lagu Inggerisnya, Can’t Forget Me.

Kedua-dua komposer ini pernah bekerjasama dengan penyanyi terkenal dunia, Lady Gaga dan Nicki Minaj. Lagu tersebut dirakamkan sepenuhnya di Los Angeles, Amerika Syarikat tahun lalu.

“Melalui lagu ini, saya akui ia sangat mencabar vokal pada tahap maksimum. Saya tidak menyangka mereka sangat profesional dan tahu apa yang terbaik untuk suara saya.

“Kali pertama berjumpa, mereka telah membuatkan saya berasa selesa. Kami banyak berbincang mengenai intipati lagu yang ingin disampaikan dan proses rakaman segalanya berjalan dengan lancar.” katanya.

Dalam pada itu, Fazura juga begitu teruja kerana video muzik Can’t Forget Me adalah video paling mahal yang pernah dihasilkan oleh Universal Music Malaysia.

Malah dia bersyukur kerana jualan album sulungnya, Sayangi Dirimu telah mencecah 200,000 unit yang merangkumi album fizikal dan digital.

“Pelbagai cemuhan dan kecaman yang saya terima apabila mula menjadi penyanyi. Ia tidak mudah kerana semua maklum saya lebih dikenali sebagai pelakon.

“Namun, berkat kesabaran dan tidak mudah melatah dengan kecaman-kecaman yang diberikan, nampaknya sudah berhasil. Mungkin tidak sehebat penyanyi lain tetapi ia sudah cukup baik bagi saya.

“Saya juga tidak pernah menyalahkan orang lain atas kelemahan saya sendiri sebagai penyanyi.

“Segala kritikan mengajar saya untuk memperbaiki kekurangan yang ada agar menjadi penyanyi yang lebih baik dari masa ke semasa,” katanya.

FAZURA dan Fattah Amin mahu timang anak secepat mungkin.
FAZURA dan Fattah Amin mahu timang anak secepat mungkin. 

Peminat doa Fazura hamil

Pelantun lagu Sayangi Dirimu ini mengaku dia bersyukur kerana disayangi ramai walaupun tidak kurang juga ada yang membenci. Fazura lebih selesa menghargai peminat yang sentiasa mendoakan kebahagiaan rumah tangganya dan kejayaan dalam kerjaya.

Misalnya baru-baru ini kecoh kononnya Fazura dan suaminya Fattah akan menerima cahaya mata tidak lama lagi. Semuanya gara-gara Fazura memuat naik video dalam laman sosial yang memakai baju besar dan jarang dilihat peminat.

“Saya bersyukur kerana ramai yang prihatin dan sentiasa mendoakan kesejahteraan kami. Kami hargai perhatian semua pihak. Saya sedar sebagai manusia tidak semua orang sukakan kita tapi tidak mengapa dalam ada yang benci masih ramai yang sayang.

“Saya sebenarnya sedar dan sedia maklum pasti ada yang akan bercakap saya hamil apabila memuat naik video itu. Saya tidak kisah dan saya bersedia menghadapi respons daripada peminat. Jadi apabila timbul spekulasi saya hamil, saya sudah ada jawapannya.

“Sebenarnya, ia berlaku ketika kami dalam perjalanan ke Maldives. Sehari suntuk saya dan Fattah tak makan kerana penerbangan yang agak lama. Tambahan pula, kami memang berhajat mahu makan puas-puas di Maldives kerana semua tahu makanan laut di sana memang sedap.

“Disebabkan kami tidak makan sepanjang hari, sebaik sahaja sampai di sana kami pesan pelbagai jenis makanan. Jadi selepas makan sudah tentulah perut saya nampak besar. Orang ingat saya mengandung.

“Saya tidak kisah dengan pertanyaan tentang anak kerana itu adalah doa buat saya dan Fattah. Semua pasangan suami isteri pun mahukan anak. Kami sendiri sudah bersedia untuk punya zuriat. Ada rezeki. pasti saya akan umumkan,” kata Fazura.

Malah tambahnya, dia kini selesa mengenakan pakaian longgar dan besar kerana mengikut gaya dan fesyen terbaharu.

“Saya juga tidak kisah jika dikata orang hamil ketika memakai baju besar begini. Itu satu doa. Lagi pun, memakai baju longgar sudah menjadi trend di Hollywood. Dalam masa yangs sama baju sedemikian sebenarnya selesa dipakai dan digayakan dalam pelbagai situasi.

“Saya juga tak peduli dengan kecaman warganet. Kalau dilayan komen dalam media sosial kita semua boleh jadi gila,” katanya.

BANYAK aktiviti yang diatur sepanjang tahun ini.
BANYAK aktiviti yang diatur sepanjang tahun ini. 

Strategi 2019

Fazura dan pihak pengurusannya sudah mengatur pelbagai perancangan sepanjang tahun 2019. Namun tidak semuanya boleh diumumkan kerana isteri kepada pelakon Fattah Amin ini bimbang dituduh menipu jika segala yang dirancang tidak menjadi kenyataan.

“Sebenarnya banyak yang telah dirancang pada tahun 2019. Namun, kita tak tahu ketentuan Allah SWT kerana kalau kita rancang tiba-tiba tak jadi, saya yang akan malu sendiri.

“Nanti ada pula yang cakap Fazura ‘propa’ (menipu) dan sebagainya. Insya-Allah, saya akan maklumkan satu persatu apa yang dirancang bila sampai masanya nanti,” katanya.

Fazura juga mengakui ramai peminat yang rindukan lakonannya dalam drama televisyen. Justeru dia merancang untuk kembali berlakon drama tetapi perlu memilih jalan cerita yang berbeza.

“Saya tengok banyak drama kita memaparkan cerita yang hampir sama. Tidak berkembang. Disebabkan peminat-peminat dah mula bertanya dan mahu saya kembali berlakon drama, saya akan lakukannya tahun ini.

“Tawaran memang banyak tapi saya mahu teliti skrip dan jalan cerita yang bagus. Tidak kisah menjadi pelakon utama atau pembantu, asalkan watak itu berbeza daripada yang pernah saya lakonkan sebelum ini,” kata Fazura yang pernah popular menerusi drama Hero Seorang Cinderella, Tahajjud Cinta, Gol & Gincu The Series dan Kisah Cinta.

Fazura yang juga sebelum ini membintangi filem Manisnya Cinta Di Cappadocia, J Revolusi, Langit Cinta dan Kami Histeria bakal muncul dengan filem The Legend of Pontianak tidak lama lagi, Dia juga dijemput sebagai artis undangan dalam Elmina Lakeside Concert di Elmina Central Park, Shah Alam pada 19 Januari ini.