Erry atau nama sebenarnya Mohd. Razlan Hamzah @ Ahmad berkata, tindakan segelintir pihak mempersenda rekaan baju Melayu itu tidak langsung menjejaskan perniagaannya, tetapi meningkatkan hasil jualan secara mendadak.

“Sejak petang semalam, beberapa keping foto memperlihatkan saya dan adik tiri saya menggayakan baju berkenaan mula tular di pelbagai laman sosial.

“Berdasarkan komen netizen, ramai berpendapat, rekaan baju Melayu itu menyerupai pakaian yang direka khas untuk kemudahan ibu menyusukan bayi mereka.

“Bagaimanapun, jika dilihat secara dekat, koleksi itu menggabungkan tiga baju tradisi mewakili tiga kaum utama di Malaysia iaitu baju Melayu, kurta dan samfu.

“Ini merupakan kali pertama saya bekerjasama dengan UA Butik dalam menghasilkan baju Melayu dan rekaannya adalah hasil perbincangan kedua-dua belah pihak,” jelasnya kepada Utusan Online.

Tambah Erry, baju berkenaan dikeluarkan dalam 20 warna pilihan dengan tiga rekaan berbeza dan boleh dibeli secara terus di butik yang terletak di TTDI Jaya, Shah Alam atau pembelian dalam talian menerusi laman Instagram @ua_butik.

Selain Erry, atlet bina badan negara, Sazali Samad juga berkolaborasi dengan label fesyen tersebut mengeluarkan koleksi baju Melayu tahan lasak, sesuai digayakan golongan lelaki bertubuh sasa tanpa perlu bimbang fabriknya terkoyak. - UTUSAN ONLINE