Bella atau pemilik nama sebenar, Izubiela Rasi, 30, perlu berfikir secara kreatif untuk memasarkan produk kecantikan dan penjagaan kulit yang menjadi bidang perniagaan pilihannya.

Bagi Bella, apabila namanya menjadi tular di media sosial gara-gara wajahnya yang cantik dengan kulit yang putih, perniagaan produk kecantikannya berjaya meraih pembeli di luar sana.

Menurut Bella, mencipta sesuatu yang tular di media sosial memerlukan pendekatan yang betul. Ini kerana, langkah menjadi instafamous harus dilaksanakan dengan nawaitu yang betul.

"Menjadi instafamous tidak melemaskan walaupun menjadi perhatian orang ramai. Sebaliknya, ia adalah perkara biasa kerana orang suka tengok aktiviti kita.

"Apabila ada yang menyapa saya, itu menyeronokkan kerana ada orang mengenali saya," kata Bella ketika hadir sebagai tetamu Mornink Blues, segmen bual bicara pagi di Utusan Online, di sini, pagi tadi.

Bella mengakui, beliau dilahirkan bukan dengan kulit yang putih gebu sebaliknya berkulit sawo matang.

"Apabila menggunakan produk kecantikan sendiri selama hampir lima tahun iaitu Putih Gebu DBella dan Susuk 1 juta Skincare, hasilnya apa yang dapat dilihat hari ini," kata Bella.

Pelaburan Bella selama beberapa tahun, Susuk 1 juta Skincare, sebenarnya pelaburan yang dikeluarkannya untuk kecantikan.

Sebagai usahawan, Bella berkata, produk kecantikan yang diusahakannya meletakkan dirinya sebagai testimoni.

"Selepas menggunakan sendiri produk, keyakinan itu ada untuk turut digunapakai oleh golongan wanita yang menjaga kecantikan dan produk-produk saya adalah yang mampu milik, berharga antara RM120 sehingga RM300.

"Kebiasaannya, menggunakan produk yang berharga RM300, maklumbalas yang diterima daripada pengguna amat baik kerana dalam tempoh tiga hari, akan ada perubahan dan dijamin, tiada kesan sampingan.

"Seperkara lagi, cara pemakanan mesti betul untuk mendapatkan hasil yang efektif dan jangan lupa minum tiga liter air sehari," ujarnya.

Kata Bella lagi, sebagai instafamous, ia banyak membantu perniagaan yang diusahakannya kerana tarikan kepada khalayak khususnya yang gemarkan kecantikan dan ingin kelihatan cantik.

Dengan menggunakan IG izubielazaffmarekan, Bella mempunyai 165,000 pengikut.

"Untuk mengembangkan perniagaan yang diusahakan, followers yang ramai amat diperlukan," kata Bella yang 'kebal' dengan pelbagai kecaman yang pernah dilemparkan ke atas dirinya. - UTUSAN ONLINE