Kembali mengejutkan ramai dengan keputusan mereka untuk kembali bersama sebagai pasangan kekasih, kedua-dua penyanyi dan pelakon ini tidak malu mengakuinya kepada umum.

Bahkan Katy dan Orlando sendiri sama-sama berkongsi perihal percintaan mereka dalam media sosial berbanding sesetengah selebriti antarabangsa yang selesa memilih untuk berselindung.

Pada mata peminat, mungkin ada sesuatu yang istimewa pada diri Orlando yang membuatkan Katy terbuka hati kembali menjalin hubungan dengannya.

Ini kerana, kebiasaannya, Katy tidak akan mudah memperlihatkan dirinya bersama dengan lelaki yang sama dalam soal cinta.

Bukan mudah juga untuknya membuka ruang buat mana-mana lelaki memandangkan dirinya sudah seringkali menjadi mangsa cinta yang tidak kesampaian.

Pun begitu keadaan berbeza pada kali ini dan ramai hadir dengan spekulasi bahawa usia dan kematangan Katy kini menjadi faktor utama wanita popular ini memilih Orlando kembali.

“Saya bersyukur kerana telah membuat pilihan terbaik,” tulis Katy di ruangan komen dalam salah satu hantaran terbaharu yang dibuat oleh Orlando dalam Instagram baru-baru ini.

Memuat naik sekeping gambar, Orlando menyebut mengenai perihal usia cuma sekadar angka termasuk pilihan dalam hidup seiring dengan sambutan hari lahirnya yang ke-41.

Luahan Orlando itu kemudiannya mendapat perhatian Katy dan mengundang komen jutaan peminat yang menganggap kedua-dua mereka adalah pasangan yang manis dan romantis.

Turut berkongsi kata-kata ucapan hari lahir buat cinta hatinya dalam media sosial, Katy menyebut Orlando adalah lelaki yang paling menyenangkan jiwa dan hidupnya.

Malah, wanita itu tanpa segan menyifatkan Orlando juga adalah lelaki terbaik dan paling comel di matanya.

“Sudah seringkali putus cinta, Katy kali ini benar-benar mahu menghargai dengan baik kehadiran Orlando sebagai pasangannya.

“Sudah tentu Katy enggan terjerat dengan kisah cinta yang sama sahaja setiap kali mengenali lelaki dan kerana itu dia berusaha untuk belajar daripada kesilapan lampau dalam percintaan.

“Orlando juga pernah gagal dalam perkahwinan dan percintaan dan ini menyebabkan lelaki itu turut berusaha memahami pasangan (Katy) dengan lebih baik,” kata sumber terdekat penyanyi Roar itu.

Katy pernah berkahwin dengan aktor dan pelawak terkenal, Russell Brand pada 2010 namun bercerai selepas dua tahun hidup bersama.

Antara punca perceraian itu kerana Russell ialah seorang lelaki yang ‘rosak’ dengan dadah dan alkohol, termasuk ketagihan seks.

Katy kemudiannya bercinta dengan penyanyi dan komposer John Mayer sebelum berpisah pada 2014.

Orlando sebelum ini pernah bercinta dengan Kate Bosworth sekitar 2003 hingga 2006.

Dia akhirnya berkahwin dengan jelitawan Miranda Kerr pada 2010.

Hasil perkahwinan mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Flynn yang kini berusia 7 tahun.

Orlando bercerai dengan Miranda pada 2013 atas alasan tiada sefahaman.