Namun karismanya sebagai seorang penghibur di pentas kali ini benar-benar menyerlah. Penuh semangat dengan emosi yang mendalam sewaktu membawakan repertoirenya, energi ketika mempersembahkan 25 buah lagu termasuk medley dengan kebanyakan lagu-lagu berentak balada begitu mempersona.

Bukan mudah menghiburkan khalayak dengan lagu-lagu sebegitu yang memerlukan sepenuh tumpuan namun Dayang Nurfaizah tidak pernah menghampakan dan dia membuktikan dengan menawan pentas Esplanade yang pada malam itu dipenuhi peminat setianya yang bukan sahaja dari Singapura tetapi juga Malaysia.

Dan pada malam tahun baharu penyanyi berkulit hitam manis itu turut menunjukkan kematangan seorang penyanyi yang dulunya begitu pemalu lagi naif. Dayang Nurfaizah pada 2018 tidak lagi seperti 18 tahun lalu kerana di pentas itu dia sudah pandai berceloteh, mengambil hati para peminatnya.

Begitu bersahaja malah mencuit hati. Dan gelagatnya yang sesekali manja itu membuatkan dewan seringkali bergema dengan gelak tawa, jeritan dan tepukan gemuruh audiens yang nampaknya begitu teruja dengan kedewasaan Dayang Nurfaizah.

Malah penyanyi itu sempat mengusik penonton tentang diri yang masih belum bertemu jodoh biarpun katanya perancang perkahwinan sudah bersedia menantikan tarikhnya, yang disambut oleh para peminat dengan jeritan ‘di bawah ini ramai yang boleh dijadikan jodoh’.

Keunggulan seorang penghibur dalam diri Dayang Nurfaizah memang cemerlang pada malam itu. Tidak hairanlah sewaktu melangkah ke pentas untuk membuka tirai persembahan dengan gaun adi busana hitam berkilau Datuk Rizalman Ibrahim dan solekan edgy Khir Khalid, bulu roma meremang mendengar dewan bergema dengan jeritan dan tepukan audiens.

Menghela nafas lega dengan sambutan hangat yang diterima, Dayang Nurfaizah yang masih tersenyum manis melayan media usai konsertnya biarpun jarum jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi, berkongsi rasa hatinya yang benar-benar bersyukur dengan kejayaan konsert solo itu.

Pembuka tahun baharu yang penuh makna buat penyanyi berasal dari Sarawak itu, konsert solo perdana Pentas - Dayang Nurfaizah itu bukti dan batu locatan untuk dirinya terus terbang tinggi dan pastinya mengadakan konsert di tanah air sendiri merupakan impian yang ingin direalisasikan demi peminat.

“Tentu sekali jika ada peluang dan ruang, saya amat berbesar hati dan menerima dengan tangan terbuka,” katanya optimis.

Pukauan vokal dan keterampilan

Paling mengasyikkan tentu sekali sewaktu berdendang medley lagu-lagu Melayu Asli yang umpama pukauan buat penonton yang begitu asyik menikmati gemersik suaranya.

Merupakan segmen yang paling disukai Dayang Nurfaizah kerana tidak selalu berpeluang menyanyikan lagu-lagu sedemikian, kongsi penyanyi itu, ini merupakan kali kedua dia menyampaikan seleksi lagu-lagu Syurga Di Telapak kaki Ibu/Selamat Tinggal Bungaku/Fatwa Pujangga itu.

“Satu kerana permintaan peminat dan keduanya kerana saya tidak berpuas hati ketika menyanyikannya dahulu dan himpunan itu merupakan antara lagu pilihan saya untuk dipersembah pada konsert ini,” katanya.

Mengakui segmen paling mencabar adalah medley Kembalilah Sayang/Mana Mungkin/Aku Rindu Aku Jemu kerana kali terakhir mempersembah lagu-lagu itu pada konsert di Dewan Filharmonik Kuala Lumpur (2014), medley lagu-lagu Justin Bieber - Sorry/Love Yourself/Can’t Stop The Feeling juga memberikan tekanan bukan sedikit buat penyanyi itu.

“Tapi segmen itu sesuatu yang menyeronokkan kerana sepanjang 36 tahun usia, saya tak sangka akan menyanyikan lagu-lagu Justin Bieber,” katanya yang menyanyikan pilihan lagu-lagu itu atas permintaan peminat ciliknya yang berusia tujuh tahun yang juga anak saudara kesayangannya, Yaya.

Dayang Nurfaizah turut menyanyikan lagu yang bakal bertanding pada Anugerah Juara Lagu ke-32, Separuh Matiku Bercinta sebelum peminat memberikan tepukan gemuruh bagi lagu Di Pintu Syurga yang kata Dayang Nurfaizah merupakan lagu penuh makna kerana bukan sahaja melonjak namanya di persada seni tetapi juga dianggap sebagai pencetus fasa baharu kariernya.

Tidak ketinggalan menyanyikan lagu Dayang Sayang Kamu sebelum bertukar baju dan mempersembah dua lagu terakhir, Tak Pernah Menyerah dan Lelaki Teragung yang memberikan kepuasan mutlak buat penggemar Dayang Nurfaizah pada malam tersebut.

Namun kata Dayang Nurfaizah, perasaan gementar tetap hadir di dalam dirinya.

“Gementar sebab saya mahu berikan yang terbaik tapi pada masa yang sama rasa begitu relaks dengan responds audiens yang begitu memberangsangkan,” tambahnya.

Kisah seni Dayang

Akui Dayang Nurfaizah, lagu-lagu yang didendangkan pada malam penuh makna itu merupakan pilihan peminat dan ada dalam kalangan karya yang dijarang dinyanyikan di pentas persembahan antaranya Celoteh Cinta, lagu pertama yang ditulis untuk Dayang Nurfaizah oleh Hazami.

Hampir 90 peratus lagu itu turut memberi erti tersendiri bukan sahaja buat peminat tetapi juga Dayang Nurfaizah yang menganggap senarai karya-karya itu merupakan sebahagian perjalanan seninya bersama-sama peminat.

“Malah setiap lagu itu ada cerita tersendiri kepada kehidupan saya,” katanya.

Membuka tirai persembahan dengan lagu Seandainya Masih Ada Cinta dan Erti Hidup, dewan berkapasiti 1,600 orang itu bergema dengan jeritan peminat yang begitu teruja dengan kemunculan Dayang Nurfaizah.

Dia kemudian menyampaikan medley Kembalilah Sayang/Mana Mungkin/Aku Rindu Aku Jemu sebelum berlawak yang kini dia dikenali sebagai Queen of OST apabila banyak lagunya kini menjadi pilihan penerbit drama untuk dijadikan lagu runut bunyi.

Memilih lagu Dia (lagu runut bunyi drama Dia) dan Layarlah Kembali pada segmen kedua, Dayang Nurfaizah turut menyampaikan medley Bahagia/Rindu, Sedingin Mana Cintamu yang katanya, antara lagu yang amat diminatinya serta Pintaku Terakhir dengan susunan muzik yang lebih groovy.

“Saya benar-benar bersyukur kerana dapat menghabiskan (menyanyikan) semua lagu kerana bukan mudah mendendangkan lagu-lagu balada kerana memerlukan fokus.

“Saya harap peminat berpuas hati kerana kepuasan peminat adalah keutamaan saya,” ujar Dayang Nurfaizah yang malam itu diiringi 13 pemuzik termasuk penyanyi pengiring yang dipimpin oleh Jenny Chin.

Dengan gubahan semula yang disusun istimewa untuk persembahan malam tersebut, senarai lagu pilihan juga bukan semata-mata daripada album-album yang pernah dihasilkan.

Malah biarpun berdendang lagu-lagu balada namun feel R&B masih kekal sebagai signature Dayang Nurfaizah yang begitu dikenali.

“Susunan muzik kali ini juga lebih sederhana kerana saya mahu kedengaran lebih dekat dengan gubahan yang asli,” ujarnya yang pada segmen kedua turut membuai audiens dengan pilihan medley lagu-lagu tribute buat Allahyarham Adnan Abu Hassan - Hembusan Asmara/Hakikat Cinta/Hujan Lagi Hati Ini.