Enggan perkara ini berterusan, kakak Aiman yang juga seorang penyanyi, Nurfaraazira Yusri atau Fara Hazel, 23, berkata, mereka sekeluarga sentiasa memantau pergerakan Aiman dengan tujuan mengambil berat selain memastikan penyanyi muda itu tidak terkait dengan sebarang masalah yang melibatkan diri, keluarga dan kerjayanya.

Kata Fara, perkara ini sebenarnya telah dilakukan sejak mereka kecil lagi dan ia diteruskan biarpun Aiman kini memasuki usia 20-an.

“Kami sekeluarga amat mengambil berat terhadap Aiman dan sentiasa pantau apa yang dia lakukan walaupun kini dia tidak lagi tinggal bersama keluarga kami di Kuala Kubu Bharu.

KUALA LUMPUR 02 APRIL 2019 - Sesi fotografi bersama penyanyi,

“Mungkin bagi sesetengah pihak, mereka nampak tindakan kami seperti mengongkong atau terlalu melindungi, tapi sebenarnya apa yang kami lakukan adalah untuk mengelakkan Aiman dilanda sebarang masalah.

“Walaupun pada dasarnya dia sudah dewasa, namun sebagai keluarga kami perlu memantau agar dia sentiasa berada pada landasan yang benar,” jelas Fara.

Tahu akan dirinya yang sentiasa diperhati, jelas Fara, Aiman tidak pernah menghalang mereka melakukan pemeriksaan mengejut di rumah sewanya.

“Kami ada akses di rumah sewanya. Ada juga datang mengejut, namun tak ada apa yang mencurigakan.

“Aiman sendiri selesa dan tidak rasa terkongkong dengan tindakan kami sekeluarga yang sangat mengawal dan masih memantau dirinya walaupun sudah dewasa,” tambahnya lagi

Bukan sekadar mengambil berat, jelas Fara, mereka sekeluarga turut memberi sokongan kepada Aiman ketika adiknya itu mengalami saat-saat sukar ketika menghadapi kontroversi.

“Kalau Aiman dilanda kontroversi atau menghadapi masalah, kami sekeluarga akan sentiasa di sisinya memberi sokongan.

“Hubungan kami sekeluarga sangat rapat dan tidak pernah menyimpan rahsia. Jika dia ada masalah, pasti akan dikongsi dengan kami,” cerita Fara semasa ditemui pada sidang akhbar Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2019.

Fara antara selebriti yang dilantik sebagai Sahabat Durian Festival Bangi Golf Resort 2019 bersama Wani Kayrie, Sissy Iman dan Raja Syahrin pada festival yang akan berlangsung 12 hingga 14 Julai ini.

“Saya memang ‘hantu durian’. Memang buah kegemaran saya. Kalau sekali makan tu, memang saya akan makan banyak.

“Bakal terlibat dalam program ini adalah sesuatu yang baharu bagi saya. Ini kali pertama saya mengetahui wujudnya anugerah khas untuk durian.

“Dulu tahu makan sahaja. Sekarang baru saya tahu durian juga dipertandingkan dan diberi pengiktirafan melalui anugerah,” kata Fara yang memegang gelaran Ratu Durian Hitam sempena festival tersebut.

Tidak lagi menumpang nama

Jika dahulu nama Fara Hazel kurang mendapat perhatian bahkan hanya dikenali sebagai kakak kepada Aiman Tino, kini setelah tiga tahun mengasah bakat akhirnya nama penyanyi lagu Setia Ku Pasti ini mula meniti di bibir peminat.

Menjelaskan bahawa tidak mudah untuk dia sisihkan diri dari pengaruh populariti Aiman, Fara tidak pernah berkecil hati mahupun berniat untuk bersaing dengan adiknya itu.

“Kami adik-beradik tidak pernah bersaing sesama sendiri kerana berniat mencari rezeki. Saya tidak mahu dikatakan menumpang populariti kerana kami saling membantu.

“Namun sejak setahun lepas, peminat mula mengenali saya atas jenama saya sendiri. Ini satu permulaan yang baik untuk kerjaya saya selepas ini,” jelas Fara.