Jika diteliti dan diberi markah, suara emas milik Zamani pasti tersenarai dalam carta lima teratas. Gemilang seorang lelaki bernama Zamani Ibrahim ini masih belum berganti.

Sejarah hitam dirinya cukup menjadikan semua menunduk kasihan dan mengharapkan agar dia benar-benar boleh melangkah jauh daripada najis dadah. Mungkin sesuatu yang sukar namun dia tahu doa peminat sentiasa mengiringinya.

2015 adalah tahun yang cukup sukar. Berita penangkapannya menggemparkan dunia hiburan. Setahun bertarung melawan najis dadah, dia kembali beraksi di pentas.

Perlahan-lahan matanya memandang ke lantai tatkala soalan adakah dia masih bergelumang dengan najis dadah diutarakan. Getar suara Zamani membuatkan setiap yang mendengar terpaku.

Bagi vokalis kumpulan Slam ini, soalan itu terlalu peribadi untuk dijawab. Namun senyuman diukir dan perlahan-lahan dia membuka mulut merungkai persoalan yang bermain dalam minda kebanyakan peminat.

Mengharapkan doa terus menerus daripada setiap insan yang menyayanginya, dia tidak berani menjawab secara lantang soalan tersebut.

Bukan mudah untuk merawat diri supaya tidak lagi terlibat dengan penggunaan bahan terlarang itu.

“Soalan ini sangat peribadi. Yang boleh saya katakan, rawatan untuk orang seperti saya mengambil masa sepanjang hayat. Bila-bila masa perkara ini boleh berulang.

“Ada kawan saya yang berjaya memboloskan diri dan ada yang kembali ke kancah hitam itu. Kalau benar sayangkan saya, doakan supaya saya dapat pulih sepenuhnya,” kata Zamani dengan nada yang cukup sayu.

Sejujurnya bukan mudah menelan jawapan yang terbit daripada penyanyi yang popular dengan lagu Syair Si Pari-Pari ini. Di sebalik kaca mata hitam yang dipakai, jelas amat berat dia melontarkan jawapan.

Mungkin dalam benak fikiran, dia khuatir dengan persepsi manusia yang suka mengecam, menghina dan mengutuk tanpa tapisan. Siapa kita mahu menghukum dosa seseorang, biar Tuhan adili setiap peri laku hamba-Nya.

Diaju tentang kesihatan, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkongsi kisah. Menderita sakit tulang belakang sejak beberapa tahun lalu, lelaki berusia 46 tahun ini sedar peminat dapat mengagak sebabnya.

Namun dia terbuka dengan setiap kritikan kerana dia sendiri sedang berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki diri. Tidak mahu meletakkan sebarang janji, dia tidak tahu apa akan jadi pada masa hadapan.

“Memang sekarang belakang saya selalu sakit dan ramai pihak mengaitkan dengan najis dadah. Saya harap pihak di luar sana berhati-hati dalam melontarkan pendapat.

“Jangan mengguris hati orang lain demi kepuasan berkata-kata. Yang mampu saya lakukan ialah untuk mencuba sedaya upaya memperbaiki diri.

“Kita tidak tahu apa akan jadi nanti, doakan saya,” kata penyanyi yang pernah muncul dengan tiga album solo ini lagi.

Sama ada terjawab atau tidak soalan, kita hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk penyanyi bersuara emas ini. Pada saat dia menyiapkan perisai berperang dengan situasi dirinya, kita harus berdiri memberi semangat.