Buktinya, dua rakan lama yang juga bekas peserta program realiti Akademi Fantasia (AF) ini kembali bergabung untuk memeriahkan industri seni muzik tanah air dengan taruhan lagu baharu berjudul Tak Pernah Hilang.

Menariknya, lagu tersebut juga diangkat sebagai lagu runut bunyi drama Nur yang sedang ditayangkan menerusi slot Samarinda di TV3 sempena Ramadan ini.

Bercerita mengenai projek kolaborasi tersebut, Amylea menyifatkan kegemaran terhadap muzik yang sama menjadi salah satu faktor yang membawa kepada gandingan mereka berdua.

Selain itu, bekas peserta AF3 ini juga mengakui persahabatan yang terjalin antara mereka selama lebih 10 tahun lalu telah menimbulkan rasa selesa tatkala bekerja dengan Kaer.

“Kami sudah lama kenal, jadi memang wujud keserasian antara kami. Rasa serasi dan selesa ini membuatkan proses perancangan dan rakaman berjalan dengan lancar tanpa timbul sebarang masalah.

“Sebenarnya lagu tersebut sudah lama dihasilkan dan idea untuk kami berduet telah lama dirancang. Namun tidak dapat dirakam ketika itu kerana kami mempunyai komitmen lain.

“Justeru, apabila ditawarkan untuk menyumbang lagu runut bunyi bagi drama Nur, saya rasakan ini satu peluang untuk saya keluarkan lagu itu daripada simpanan,” ujar Amylea.

Hadiah untuk peminat

DUA tahun selepas menyertai AF2, <strong>Kaer Azami</strong> mengambil keputusan untuk memperlahan kerjaya sebagai penyanyi kerana menyambung pengajian dalam bidang fesyen di Kolej LaSalle, Jakarta, Indonesia pada 2006.

Lebih 10 tahun sibuk dengan pelajaran dan membina jenama fesyennya sendiri iaitu Quhji dan Kazama, Kaer atau Wan Mohammad Khair Wan Azami Hamzah nekad untuk kembali mewarnai dunia seni muzik yang sudah lama ditinggalkan.

Bukan sahaja kerana minat yang masih bersisa, keputusannya ini juga didorong oleh sokongan peminat yang sentiasa menantikan kemunculannya.

Ternyata, semangat dan sokongan yang dihulurkan itu memberi nafas baharu untuk Kaer kembali bernyawa dalam industri muzik.

“Oleh sebab saya tidak aktif menyanyi, ramai yang menyangka saya sudah tidak berminat untuk menjadi penyanyi lagi. Sebenarnya itu tidak benar kerana nyanyian adalah sebahagian daripada hidup saya.

“Apabila ditawarkan oleh Amylea untuk berduet, saya rasa satu rezeki dan peluang terbaik untuk saya kembali dalam industri. Jadi, saya ingin menghadiahkan lagu baharu kami kepada peminat yang selama ini menyokong dan merindui saya.

“Lagu ini bukan sekadar hadiah untuk mereka tetapi juga sebagai pembuka jalan untuk saya khabarkan kepada peminat muzik tanah air bahawa saya sudah kembali. Besar harapan dan impian saya agar kemunculan semula saya ini diterima oleh peminat,” jelasnya.

Selain daripada lagu Tak Pernah Hilang, Kaer akui dia bakal muncul dengan lagu solo baharunya.

Bagaimanapun jejaka berusia 32 tahun ini belum bersedia berkongsi secara mendalam mengenai projek tersebut.

Bakal bergelar penerbit

MENDAPAT tempat ketiga dalam AF3 13 tahun lalu tidak menjanjikan kesenangan buat Amylea merangka perjalanannya dalam industri seni tempatan. Namun anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini enggan mengalah dan putus asa.

Sebagai anak seni, Amylea sedar dia perlu sentiasa kuat semangat, bersikap positif dan terus melangkah ke hadapan demi survival kerjaya seninya.

Belum ada rezeki untuk benar-benar popular di persada muzik, Amylea tidak menjadikannya sebagai halangan. Sebaliknya, wanita berusia 32 tahun ini terus menempatkan dirinya dalam industri menerusi karya yang dihasilkan untuk penyanyi lain.

Keseronokannya mencipta lagu membuka peluang kepada penyanyi yang dulunya cukup sinonim menerusi lagu Ku Berserah ini untuk bergelar penerbit pula tidak lama lagi.

Menurut Amylea yang juga ahli Badan Pelindung Hakcipta Muzik (MACP), genap 50 buah lagu ciptaannya membolehkan dia layak menjadi penerbit.

“Setakat ini, saya telah menghasilkan sebanyak 46 buah lagu yang berdaftar bawah MACP. Oleh itu, saya hanya memerlukan empat buah lagu lagi bagi menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 50 lagu, sekali gus melayakkan saya bergelar seorang penerbit.

“Dengan jawatan tersebut, secara tidak langsung saya dapat membantu untuk merealisasikan impian orang lain yang ingin mencuba nasib sebagai penyanyi,” jelasnya.