Ella dan Azhar
Ella dan Azhar 

Bagi para peminat Ella, pasti ramai yang sudah mengetahui Ella akan mengadakan konsertnya di Panggung Sari, Istana Budaya pada bulan hadapan.

Konsert Unplugged Ella 2019 tidak boleh diadakan sehari sahaja. Jadi, bermula pada 29 Mac sehingga 31 Mac ini, Ella perlu bersiapsiaga untuk memberikan persembahan yang terbaik kepada para peminat yang sentiasa menyokong perjalanan seni Ratu Rock negara ini.

Debaran penerima Anugerah The BrandLaureate Icon Celebirty 2018 menghampiri tarikh persembahan, mungkin turut dirasai oleh suaminya, Azhar Husaini Ghazali.

Kehadiran suami Ella yang mesra dengan panggilan Kapten Azhar perlu dilihat sebagai pendorong dan penguat semangat ikon rock wanita tersohor tanah air.

Bagaimanapun, tidak semua yang berpandangan positif dengan kehadiran Kapten Azhar di atas pentas kerana kemunculan beberapa kali suami Ella di atas pentas persembahan, tidak lagi dipandang sebagai gimik.

Kata-kata nakal yang tertebaran menuduh Kapten Azhar merasakan dirinya adalah seorang Superstar dan kerjasamanya dalam menjayakan album terbaharu Ella berjudul Peace. Love. Rindu turut menjadi perbualan ramai.

Ini kerana Kapten Azhar berani berduet dengan Ella melantunkan lagu Peace. Love. Rindu dianggap 'merosakkan' lagu tersebut.

Apabila banyak persoalan yang timbul, malam ini adalah peluang terbaik untuk mendengar apa kata Kapten Azhar dan Ella selain daripada mengetahui sejauh manakah penglibatan beliau dalam Konsert Unplugged Ella di Istana Budaya nanti. - UTUSAN ONLINE