Kemenangan gadis kelahiran Rawang, Selangor itu sekali gus mengetepikan pencabar rapatnya, Syafiq Farhain, 24, yang merupakan anak kepada vokalis kumpulan Iklim selaku naib juara.

Sementara itu, Afieq Shazwan, 21, yang membawakan lagu Footloose nyanyian asal Kenny Loggins serta single baharu berjudul Darjat diumumkan pemenang tempat ketiga.

Nama peserta yang menghuni tangga keempat pula adalah milik penyanyi remaja, Wani Kayrie, 18, manakala finalis terakhir, Baby Shima, 27, berpuas hati di kedudukan kelima.

Persembahan semua finalis ketika konsert akhir musim pertama program realiti tersebut diadili sepenuhnya oleh individu profesional yang terdiri daripada juri tetap, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir.

Dua lagi individu yang diundang sebagai juri ialah Mas Idayu dan Mark Adam bagi membantu panel juri tetap membuat penilaian sewajarnya berdasar dua persembahan terakhir masing-masing.

Habuan sebagai pemenang, Sarah membawa pulang wang tunai RM100,000, manakala Syafiq pula menerima ganjaran berjumlah RM50,000.

Finalis lain iaitu Afieq dihadiahkan wang tunai RM25,000 dan Wani pula berhak memiliki RM10,000, manakala Shima berpuas hati dengan kurniaan rezeki RM5,000 untuknya. - UTUSAN ONLINE