Tidak usah kita mempertikai siapa Monoloque dalam mata industri seni suara, dia membuktikan perbezaan bukan satu halangan untuk menempa nama. Cuma jalannya penuh selirat mencipta cabaran.

Bukan menyombong dengan percaturan muzik perdana, peribadi seorang Monoloque atau lebih dikenali sebagai Loque tidak boleh ditukar begitu sahaja.

Jiwa Melayu yang tegar menjadikan dia tidak mahu berpura-pura semata-mata untuk popular.

Dilabel sebagai penyanyi eksperimentasi, dia tidak mahu melakukan sesuatu hanya sekadar demi populariti. Mungkin tidak diterima oleh ramai, namun dia bersyukur, peminat setianya masih memuji.

“Saya bukan hendak sangat gelaran penyanyi eksperimentasi atau seumpamanya. Tapi itulah saya. Saya tidak dapat tukar jalur muzik dan patah kata demi mengikut arus populariti

“Saya tahu mungkin tidak semua boleh terima muzik saya. Ada orang kenal, ada yang tidak. Saya tak mahu berpura-pura, sebab itu saya kekal identiti muzik.

“Kadang-kadang cemburu juga tengok komposer lain tetapi setiap dari kita ada perjuangan sendiri. Saya selesa begini. Ada orang kata saya unik, ada yang kata ‘deep’, terpulang,” katanya.

Pelik, itu salah satu gelaran yang diterima lelaki berusia 41 tahun ini. Namun itu bukan sesuatu yang menggundahkan hatinya. Cukup dia dan peminatnya tahu hala tuju muziknya.

Bukan mahu mendabik dada kononnya dia hebat, Loque berkata, seseorang artis perlu ada karakter tersendiri yang membezakan diri mereka daripada penyanyi lain.

Bagi Loque, kelainan dalam muzik adalah sesuatu yang perlu dibanggakan. Masyarakat hanya melihat satu sudut, namun sebagai insan seni, kelainan itu adalah satu kecantikan.

“Muzik di Malaysia sangat bagus, kita ada pelbagai genre dan jalur muzik. Tapi yang lompong adalah karakter. Idea dan stail muzik ada tapi identiti dan peribadi sendiri itu tidak ada.

“Bukan saya mahu menyuruh semua orang mengikut rentak saya, pakai kain sarung dan pakai tengkolok. Tetapi kita kena cari karakter dan keunikan sendiri.

“Kita tewas dengan pemikiran cetek segelintir masyarakat. Kita buat separuh jalan dan akhirnya mengikut telunjuk mereka. Kita perlu kembangkan idea dan pertahan identiti sendiri,” katanya.

Nostalgia piring hitam

MERAIH populariti menerusi lagu duet, Kekanda Adinda dengan Atilia pada 2010, Monoloque tidak menolak untuk sekali lagi berduet dengan mana-mana artis tempatan.

Namun sekarang, dia lebih memberi fokus kepada kerjaya solonya dan projek piring hitam, Jangan Puja Sampai Kecewa (JPSK) yang mendapat sambutan apabila sudah terjual lebih 300 keping.

Memilih untuk memberi peluang kepada peminat dan pengumpul piring hitam mengubati rindu mereka dengan mendapatkan album baharunya, Loque cuba menongkah arus trend muzik sekarang.

“Kita sudah biasa dengar lagu pada platform digital. Rasanya sekarang, memang semua penyanyi lebih senang menggunakan platform digital untuk mempromosikan lagu baharu mereka.

“Sebagai seorang pemuzik, saya rasa pusingan kerjaya seni saya lengkap apabila piring hitam JPSK dilahirkan. Mengandungi 11 lagu, album yang diterbitkan pada 2017 ini memenuhi impian saya.

“Insya-Allah, album baharu tahun depan saya akan menggunakan platform digital pula. Saja mahu cipta kelainan. Apabila dapat sambutan, saya teruja dan gembira sekali,” katanya.

Hadir ke sesi fotografi dengan rakan muziknya, AJ Popshuvit, Loque berkata, piring hitam JPSK cukup berbeza apabila proses rakaman album tersebut dilakukan dalam sebuah rumah kampung secara langsung.

Berkampung selama empat hari, Loque bersama-sama pemuzik, AJ (bes), Ijoo (gitar utama), Bakri (dram) dan Syafikraz (perkusi/percussion) berjaya menghasilkan sebuah album yang cukup unik.

“Album tersebut dirakam di sebuah rumah lama di Kampung Batu, Kuala Lumpur. Peminat boleh menonton proses rakaman lagu atau video mengenai Peristiwa Kampung Batu dalam saluran YouTube dan Vevo.

“Mula-mula kami merancang untuk merakamkan proses penghasilan album tersebut dalam bentuk video cakera padat (DVD) itu dilihat tidak lagi relevan, kami beralih pada platform digital.

“Tujuan rakaman dilakukan di luar studio adalah untuk memberikan sesuatu yang berbeza dalam rakaman muzik. Kami bawakan aura rumah terbabit membiarkan suara-suara natural di dalam lagu-lagu yang dirakamkan,” katanya.