KUANTAN, 14 OGOS 2017, Nor AzirahBerita : Siti Norizat Shikh Abdul
JANNA NICK memberitahu wataknya dalam Coffee Prince agak mencabar.

Janna Nick, satu nama yang sedang meningkat naik. Malah, lakonannya dalam drama terbaharu cukup mencuri tumpuan.

Bagaimanapun, anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu tidak mahu terus selesa di kedudukan sekarang. Memikirkan perjalanan masih jauh dalam mengecapi kegemilangan dalam industri seni, Janna kini amat teliti dalam memilih watak demi memastikan popularitinya tidak pudar.

“Setakat ini, kebanyakan tawaran berlakon yang saya terima adalah seimbang karakternya dan tidak tertumpu kepada satu watak sahaja.

“Kadang-kadang saya dapat watak agresif dan ada juga yang lembut. Saya tidak mahu kerap dapat watak yang sama setiap kali menerima tawaran.

“Cuma, saya tidak mahu bawa watak yang stereotaip atau lebih kurang sama karakternya. Saya mencari sesuatu yang berbeza dan dalam masa yang sama, saya akan cuba mencipta satu kelainan,”katanya kepada S2.

Tambah Janna, dia tiada masalah untuk mencuba watak yang agresif dan mencabar sepertimana tawaran yang diterimanya untuk drama bertajuk Coffee Prince.

“Memang mencabar dan berat. Saya akui watak ini agak sukar kerana saya perlu mencari kelainan supaya tidak dibayangi pelakon asal drama tersebut.

“Malah, saya juga sedang berusaha keras seperti pergi ke gimnasium dan membuat latihan fizikal sebagai persediaan untuk melakonkan watak yang pernah dibawa oleh Yoon Eun-hye itu,” katanya.

Janna ketika ditemui pada majlis hari graduasi Akademi Toyota Gazoo Racing Festival di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini berkata, dia terlibat dalam program itu sebagai pelumba selebriti.

Katanya, peluang menjadi seorang pelumba menambah pengetahuannya dalam kemahiran lakonan.

“Saya tidak menyimpan niat dan cita-cita untuk menjadi seorang pelumba profesional yang mewakili negara dalam acara berprestij.

“Tetapi cukup sekadar menambah pengetahuan tentang teknik perlumbaan dan cara mengendalikan kereta yang betul semasa memandu laju daripada seorang jurulatih profesional.

“Saya jadikan ilmu tersebut sebagai nilai tambah meningkatkan mutu lakonan. Mungkin akan datang, saya diminta berlakon dalam filem aksi lumba kereta dan ketika itu, saya sudah bersedia,” ujarnya.